berita

Bajet 2023 Tidak Pinggirkan Pembangunan Luar Bandar Khususnya Masyarakat Orang Asli Serta Golongan Petani, Pesawah

November 17th, 2022 | by Nurul
Kini Trending

Kredit: Utusan

Sentiasa mendahulukan rakyat, Bajet 2023 menerusi Strategi 3: Pembangunan Inklusif, Fokus 2 bertumpukan kepada penambahbaikan infrastruktur Luar Bandar bagi memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar terjamin.

Dana berjumlah RM2.55 bilion disediakan dengan tumpuan kepada rakyat Sabah dan Sarawak serta golongan luar bandar, khususnya masyarakat Orang Asli serta pembangunan desa.

Daripada jumlah dana yang disalurkan, terdapat beberapa inisiatif yang dijalankan untuk kemudahan infrastruktur termasuklah,

  • Projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa sepanjang 498 kilometer (RM1.5b) yang memanfaatkan lebih 110 ribu penduduk antaranya dari Kampung Orang Asli Bawong, Kuala Kangsar ke Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, Perak
  • Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar berjumlah RM472 juta yang memanfaatkan penghuni 2,100 buah rumah
  • Projek Bekalan Air Luar Bandar dan Bekalan Air Alternatif (RM381 juta) yang memanfaatkan penghuni 4,800 buah rumah antaranya di Ladang RISDA Palong di Jempol, Negeri Sembilan
  • Projek Lampu Jalan Kampung (RM123 juta) melalui pemasangan baharu 6,800 unit lampu dan penyelenggaraan lebih 525 ribu unit lampu
  • Kerja-kerja awalan bagi membina 85 jambatan baharu untuk menggantikan jambatan uzur serta tidak selamat dengan peruntukan bernilai RM54 juta

Dalam pada itu, Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) akan ditingkatkan kepada RM5.2 bilion dan dalam usaha mengoptimum peruntukan ini, skop MARRIS akan diperluas untuk merangkumi kerja penyelenggaraan jalan pertanian negeri di bawah seliaan lembaga kemajuan pertanian.

Masyarakat Orang Asli tidak dipinggir

Secara keseluruhan, masyarakat orang asli diperuntukkan RM305 juta yang merangkumi program bantuan sosial, peningkatan taraf hidup serta Pembangunan Bersepadu Perkampungan Orang Asli.

Kerajaan juga akan melaksanakan Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli merangkumi kerja-kerja penanaman semula getah dan kelapa sawit yang akan memanfaatkan lebih 2,100 orang asli antaranya di Kemaman Terengganu, Bera Pahang, dan Gua Musang Kelantan.

Kerajaan juga akan mempergiat Program Pembangunan Usahawan Orang Asli bagi menyediakan bantuan peralatan perniagaan dan bimbingan keusahawanan kepada 550 orang asli.

Bagi memberi inspirasi kepada lebih ramai anak orang asli menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, , MARA dan Yayasan di bawah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) masing-masing menyediakan peluang tajaan kepada 10 orang anak orang asli untuk menyambung pengajian tinggi di luar negara.

Tumpuan kepada Sabah dan Sarawak

Selain itu, dalam usaha untuk memastikan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gas LPG, petrol dan diesel sampai ke tangan penduduk luar bandar pada harga yang berpatutan, kerajaan menyediakan RM200 juta bagi menampung kos pengangkutan dan pengedaran barang perlu dan memperluas manfaat program ke 23 kawasan baharu termasuklah Kampung Passin di Mukah, Sarawak dan Kampung Tawayari di Lahad Datu, Sabah.

Bagi manfaat penduduk pedalaman pula, inisiatif Bank Bergerak yang melibatkan enam buah bank dengan 15 buah kenderaan diubah suai telah melakukan lebih 36 ribu transaksi antaranya di Mukah, Sarawak; Kota Setar, Kedah dan Batu Sapi, Sabah.

Sokongan berterusan kepada para pesawah, nelayan dan pekebun kecil

Kredit: masterplandesa.com

Bagi memastikan kebajikan golongan ini terpelihara, kerajaan juga menyediakan pelbagai subsidi dan insentif merangkumi:

  • subsidi harga padi, baja padi, benih padi sah, baja padi huma dan insentif pengeluaran padi serta insentif tangkapan hasil nelayan dengan peruntukan RM1.8 bilion
  • peruntukan RM228 juta berupa bantuan sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan semusim kepada 240 ribu pesawah
  • Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh empat bulan kepada 320 ribu pekebun kecil dengan peruntukan RM256 juta ringgit. Ini bermakna pekebun kecil akan mendapat BMT sebanyak RM800.
  • Bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersama dengan program TARGET untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi
  • Skim Perlindungan Pertanian diperkenalkan untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak

Diharap dengan insiatif dan insentif dari kerajaan ini, kesejahteraan rakyat luar bandar sentiasa terjaga sekaligus secara terus menerus dapat menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara.

 

Rujukan:

https://budget.mof.gov.my/pdf/2023/ucapan/2023-touchpoint.pdf

SKIP THIS AD ×