Kehebatan vokal dan persembahan Aina Abdul ketika menyampaikan lagu ‘Semalam’ di pentas akhir Anugerah Juara Lagu Ke-35 semalam, ternyata memukau ribuan penonton di rumah. Namun begitu, busana yang digayakan oleh Aina turut mencuri tumpuan netizen. Ada yang samakan dengan ikan laga?
Di Instagram, Aina memberi penjelasan mengenai reka bentuk busana yang digayakan olehnya pada malam ini. Menurutnya, setiap perincian busana tersebut mempunyai maksud tersendiri.
Metafora kepada figura seorang bayi
Menurut Aina, topi yang direka seperti sebuah tempat tidur seorang bayi itu adalah hasil interpretasi lirik “tinggal ku sendiri, ditemani jasad ini”. Bait kata “jasad ini” itu adalah metafora kepada figura seorang bayi atau kanak kanak kecil yang ada bersama-sama wanita ini sewaktu berlakunya kisah “SEMALAM”.
Manakala, jaket bersiluet besar dengan perincian susunan kain pleated yang kelihatan sarat pula menggambarkan kisah penderitaan yang dialami oleh wanita itu sangat berat dan banyak sekali. Perincian pleated pada jacket tersebut dipilih hasil inspirasi daripada daun palas kipas atau “palm tree”. Ianya merupakan interpretasi seni reka fesyen terhadap lirik “diri ini bagai daun gugur”. Warna hitam juga dipilih untuk melambangkan daun tersebut sudah tua, kering dan layu. Ia juga simbolik kepada perkataan “SEMALAM” yang selalu dikaitkan dengan warna hitam dan gelap.
Kesan luka ‘Semalam’
Bercerita mengenai helaian bahagian dalam busana, Aina memberitahu ianya diambil dari rekaan pakaian tradisional Vietnam Ao? ai atau “long tunic”. Rekaan tersebut merupakan lambang kepada sifat seorang wanita yang feminin dan ayu. Ia diperbuat dari material lembut dan polos yang menggambarkan hati seorang wanita yang mudah rapuh dan cepat tersentuh. Perincian kain pleat yang membentuk satu imej bulat dibawah helaian jaket bermaksud seperti wanita ini sedang berdiri di atas daun yang terapung. Tidak ketinggalan, perincian kain pleated berwarna merah di belakang jaket melambangkan kesan luka “SEMALAM”.
Gerakan penari yang menolak-nolak kain parachute dari dalam melambangkan kesan lebam sebagai interpretasi maksud “calar ungu”. Wanita ini juga menyampaikan kisahnya bersama dengan penari-penari yang berada di dalam parachute. Ini lambangan kepada situasi dimana wanita ini mewakili insan-insan lain yang turut merasai penderitaan yang sama.
Mengenai parachute atau payung terjun pula, Aina memaklumkan bahawa ianya merupakan elemen terbesar dalam reka bentuk busana Anugerah Juara Lagu 35 kali ini. Payung terjun itu melambangkan imej daun gugur yang ditiup angin. Selain itu, imej grafik yang dipancarkan di atas kain adalah lambangan kepada bait “calar ungu” yang terdapat di dalam lirik “Engkau pergi jua, tinggal ku sendiri dengan seribu calar ungu”.
Sumber: Aina Abdul