
Penyanyi kelahiran Indonesia, Allan Andersn mengenang kembali keperitan yang dilalui sepanjang membina nama dalam industri muzik.
Dua minggu makan Indomie

Ketika ditemui OhBulan!, Allan berkongsi pengalaman peribadinya berdepan masalah kewangan demi merealisasikan impiannya menghasilkan karya muzik.
Menurut pelantun lagu Rindu itu, dia pernah ‘berikat perut’ dan hanya menjamah mi segera selama dua minggu berturut-turut kerana wang simpanannya habis digunakan untuk kos produksi lagu.
Jujur cakap, struggle itu memang banyak. Makan Indomie sebab nak biayai produksi lagu? Itu pun saya pernah lalui. Sebab sebagai pemuzik independent, semua kena guna duit sendiri.
Saya ingat lagi waktu produksi lagu ‘Rindu’. Selepas saya bayar semua kos produksi, video muzik dan lain-lain, tahu tak baki duit dalam bank saya tinggal 1,600 Rupiah saja? Kalau dalam Ringgit, nilainya lebih kurang 30 sen.
Disebabkan itu, saya betul-betul makan Indomie hampir dua minggu. Satu hari tiga bungkus sampaikan saya gastrik. Itu tiada siapa yang tahu, saya diamkan saja.
Allan berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana drama Setiaku Berdiri yang berlangsung di Damansara Perdana, pada Khamis.
Tak suka berkongsi kesusahan di media sosial

Tambah Allan, ramai yang menyangka kehidupannya mewah hanya berdasarkan perkongsian di media sosial, namun realiti sebaliknya.
Saya bukan jenis yang suka menjaja kesusahan, saya lebih suka simpan sendiri. Malah kalau ikut Instagram saya, saya jarang tunjuk emosi atau kesulitan. Saya cuma tunjuk benda-benda yang baik saja.
Sampai orang tengok dan fikir, ‘Wah, senang je kerja dia ya.’ Tapi sebenarnya… tidak, sayang. Tidak begitu, cintaku. Ini tulang pun dah nak patah.
Pelantun lagi Senafas ini mengakui pengalamannya yang bermula dari bawah itu telah mengajarnya supaya lebih menghargai sokongan daripada peminat.
Saya sangat terasa bila lihat penyanyi atau artis baru yang tidak menghargai peminat mereka. Saya memang rasa geram, dalam hati saja tapi saya tak tunjuk.
Kenapa? Sebab tanpa peminat, kita bukan siapa-siapa. Bayangkan kamu keluarkan lagu, tapi tak ada siapa pun yang dengar. Sebab itu saya sangat bersyukur walaupun peminat saya tak ramai, tapi mereka cukup kuat untuk streaming lagu-lagu saya.
Allan mengakui walaupun kehidupannya kini semakin stabil, cabaran dalam karier tetap wujud namun tidak seteruk dahulu.
Senafas dipilih sebagai runut bunyi rasmi untuk drama baharu Astro Prima berjudul Setiaku Berdiri, terbitan Radius One Sdn Bhd dan diarahkan oleh Rashid Sibir. Drama ini dibintangi oleh Wanna Ali, Nazrief Nazri, Sweet Qismina dan Aidit Noh.
Single Senafas boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik bermula 5 Disember 2025, manakala muzik video rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Allan Andersn.








![[VIDEO] Khairul Aming Jaga Keberkatan Perniagaan – ‘Jangan Guna Kejatuhan Orang Lain Untuk Naikkan Sales Kita’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/khairul-aming.jpg)