Berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, pelakon, Balkiysh Semundur Khan mendedahkan ramai individu telah datang kepadanya untuk memohon bantuan lampin pakai buang. Ujar Balkiysh, rata-rata individu tersebut kehilangan sumber pendapatan dan terpaksa meraih simpati daripada masyarakat di sekeliling mereka.
Ramai yang perlu
Saya dapat maklumat terlalu ramai yang perlukan pampers untuk anak-anak mereka sejak saya upload di Instagram baru-baru ini. Saya dah berbincang dan berikan maklumat mereka yang memerlukan kepada beberapa NGO. Alhamdulillah ada di antara mereka yang telah dibantu. Cuma yang menjadi kebimbangannya, bantuan pampers ini mungkin tak akan dapat secara kerap sebab terlalu ramai yang memerlukannya dan tambahan juga ramai orang yang dah terputus bekalan makanan dan barangan asas.
Menurut Balkiysh, badan kebajikan termasuk pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) tidak dapat membekalkan lampin pakai buang itu secukupnya buat mereka yang memerlukan. Ini kerana, masih ada ramai individu yang sudah terputus bekalan makanan dan barangan asas. Oleh itu, dana peruntukan yang diperoleh oleh pihaknya itu akan diutamakan kepada mereka yang amat memerlukan barangan asas dan makanan.
Kembali ke zaman dahulu
Di samping itu, Balkisyh turut memberi cadangan agar masyarakat kembali menggunakan lampin kain atau napkin yang dibasuh dan dipakai semula selepas dibersihkan. Ujar Balkisyh, kaedah ini boleh digunakan untuk sementara waktu sehingga ekonomi dan pendapatan individu berkenaan kembali stabil. Mengimbas semula kenangan semasa kecil, Balkisyh memberitahu bahawa ibunya juga menggunakan lampin kain untuk mereka adik beradik semasa kecil.
Bagi menjamin keperluan anak-anak, saya cadangkan kita kembali kepada zaman dahulu atau #backtonature iaitu menggunakan lampin atau napkin. Memang zaman sekarang ianya dianggap remeh dan kotor tapi masa kecil saya pun guna napkin ni. Saya berasal daripada keluarga yang susah dan adik-adik saya hingga yang bongsu pun guna napkin nie.
Kalau saya ada baby pun, saya sendiri akan buat kaedah ini supaya dapat saving memandangkan saya pun dah hilang pendapatan. Biarlah orang nak kata apa pun, asalkan saya boleh terus melangsungkan kehidupan yang tak tahu sampai bila boleh bertahan. Pitih dah makin surut bohh. Kerja tak ada.
Di akhir posting tersebut, Balkisyh berharap kaedah lama ini sedikit sebanyak boleh membantu mereka yang telah kehabisan lampin pakai buang.
Sumber: Balkisyh