Bekas vokalis kumpulan Samsons, Bams atau nama sebenarnya Bambang Reguna Bukit disahkan menghidap kanser pada bahagian lutut kanan yang sudah lama ditanggungnya sejak 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan: Bams Samsons Dakwa Isteri Jalin Hubungan Sulit Dengan Ayah Mentua

Kanser lutut kanan

Perkara itu didedahkan oleh pemain gitar Samsons, Irfan Aulia dan memaklukan Bams kini dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Bambang baru kembali dari Malaysia untuk menjalani pembedahan di lutut. Dia ada kanser di bahagian lutut kanan, sebagai rakan kami selalu memberi semangat kepada dia.

Mengenai tahap kanser itu saya tidah tahu, cuma apa yang jelas baru-baru ini dia baru selesai menjalani rawatan di Malaysia kalau tidak salah di Pulau Pinang. Dia menghidap kanser lutut, kalau tidak salah sudah 10 tahun.

Dia tidak merahsiakan perkara itu kerana saya perasan ada juga dia berkongsi di podcast mengenai keadaan kesihatannya. Sekarang saya difahamkan keadaannya sudah semakin baik, bukan serius.

Irfan berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Samsons Live In Malaysia – Kenangan Terindah yang diadakan Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Bercerita mengenai hubungan mereka, Irfan menegaskan ikatan persahabatan masih kekal mesra biarpun Bams sudah lebih sedekad meninggalkan Samsons. Malah, mereka juga ada merancang projek bersama.

Sudah lama sejak kali terakhir saya berhubung dengan Bambang, mungkin beberapa tahun lalu. Kami ada berjumpa di pejabat dan bercakap mengenai beberapa perkara termasuk perancangan projek bersama.

Hubungan kami juga masih baik, cuma jalannya sudah berbeza sahaja. Baru-baru ini juga Bambang ada persembahan, cuma dalam keadaan duduk.

Sekarang karier muzik dia lebih kepada solo dan membuat persembahan keagamaan di gereja.

Sebagai info, Bams pernah menjadi vokalis utama Samsons sejak penubuhan kumpulan itu pada 2003 hingga pertengahan 2012.

Pengunduran Bams kemudian digantikan oleh Aria Dinata pada 2013, sebelum tempat itu diisi Adrian Martadinata yang kekal sehingga kini.

Dalam perkembangan lain, Samsons bakal kembali menggegarkan pentas Malaysia menerusi Konsert Samsons Live In Malaysia – Kenangan Terindah pada 9 November depan di IDEA Live Arena, Petaling Jaya.

Lebih istimewa, konsert anjuran Orlaith Inc itu akan menampilkan lebih 20 lagu popular mereka sejak album pertama pada 2005, selain memperkenalkan karya baharu yang bakal dipersembahkan buat julung kali.

Tiket konsert boleh dibeli di www.ticket2u.com.