Perceraian bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilalui, lebih-lebih lagi apabila setiap perkembangan menjadi perhatian umum. Bagi selebriti, episod perpisahan sering disusuli dengan pelbagai spekulasi, kecaman dan tekanan daripada media sosial.

Namun, lima selebriti wanita ini membuktikan pengakhiran sebuah perkahwinan bukanlah penamat kepada kehidupan mahupun kerjaya. Sebaliknya, mereka bangkit dengan lebih kuat, memberi fokus kepada keluarga, kerjaya dan pembangunan diri sehingga terus menjadi inspirasi ramai.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ubai Kesal Difitnah Bercerai Seminggu Selepas Berkahwin – ‘Ada Gambar Saya Dengan Shila, Rupanya..’

Artikel Berkaitan: ‘Lebih Baik Minta Cerai Kalau Dah Tak Serasi’ – Abby Abadi

Perceraian selebriti bukan penamat

1. Bella Astillah

Nama pelakon dan penyanyi, Bella Astillah menjadi bualan seluruh negara selepas rumah tangganya bersama penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz melalui pelbagai ujian sebelum mereka akhirnya bercerai pada 13 Jun 2024. Sepanjang tempoh itu, Bella menerima sokongan luar biasa daripada masyarakat yang mengagumi ketabahan serta sikap profesionalnya.

Selepas perceraian, kerjaya Bella dilihat semakin berkembang dan dia terus menerima pelbagai tawaran lakonan, menjadi wajah pilihan pelbagai jenama terkenal serta aktif menghadiri acara hiburan dan fesyen. Malah, popularitinya di media sosial turut meningkat dengan ketara, sekali gus menjadikannya antara selebriti wanita paling mendapat perhatian di Malaysia.

Di sebalik kesibukan kerjaya, Bella tetap mengutamakan dua orang anaknya dan sering berkongsi momen bersama keluarga, sekali gus menjadikan dirinya inspirasi kepada ramai ibu tunggal. Kini Bella baru sahaja mengingkat tali pertunangan bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq pada 28 Mac 2026.

2. Shila Amzah

Penyanyi bersuara lunak ini mengumumkan perceraiannya dengan Haris Idraki Elias pada Februari 2022 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga. Walaupun berdepan fasa sukar sebagai ibu kepada seorang anak, Shila memilih untuk tidak memperlahankan langkah dalam dunia seni.

Disebalik duka yang terpaksa dilaluinya itu, Shila menemui kebahagiaan baru apabila mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, pempengaruh, Ubaidillah MZ pada 4 Ogos 2023, dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan.

Memperoleh kekuatan dan semangat baru, Shila kembali aktif menghasilkan muzik, mengadakan persembahan dan menjayakan konsert solo pertamanya di Malaysia dan China. Shila juga terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik Mandarin, selain sering muncul sebagai artis jemputan dalam pelbagai program televisyen.

Kini, Shila bukan sahaja dikenali kerana vokalnya yang mantap, malah kerana ketabahannya mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu dan kerjaya sebagai anak seni.

3. Nur Fazura

Pelakon, penyanyi dan usahawan Nur Fazura mengejutkan ramai apabila perkahwinannya dengan pelakon Fattah Amin berakhir pada tahun 2024 selepas beberapa tahun melayari bahtera rumah tangga bersama.

Selepas melalui episod tersebut, Fazura memilih untuk memberi tumpuan kepada anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, di samping meneruskan kerjaya seni dan perniagaan yang telah dibinanya sejak sekian lama.

Meskipun tidak aktif sebagai pelakon, Fazura terus mendapat tawaran sebagai duta pelbagai jenama serta mengembangkan empayar perniagaannya yang kini semakin maju. Kehadirannya dalam acara hiburan dan fesyen juga membuktikan pengaruhnya dalam industri masih kukuh. Ramai peminat memuji sikapnya yang tenang dan matang dalam menghadapi ujian hidup tanpa terlalu berkongsi konflik kepada umum.

Dalam pada itu, Fazura kini mendapat perhatian lebih apabila hubungannya bersama pelakon, Que Haidar dilihat semakin akrab dan mesra. Malah, ramai yang mengusik Fazura dan Que agar mereka bersatu sebagai pasangan suami isteri. Mereka juga baru sahaja melancarkan produk bersama iaitu ‘Sambal Kahwin FazQue’.

4. Puteri Sarah Liyana

Perjalanan hidup pelakon, Puteri Sarah Liyana selepas berpisah dengan pengarah dan aktor, Syamsul Yusof pada tahun 2023 menjadi perhatian ramai. Sepanjang proses perceraian, Sarah berdepan pelbagai cabaran dan tekanan sehingga terpaksa melalui titik terendah apabila dia hanya mampu menyusu anak keduanya, Sumayyah sehinggga enam bulan saja kerana rasa tertekan. Bukan itu sahaja, Sarah turut mendedahkan dia pernah memukul anak sulungnya, Syaikhul.

Namun, selepas tamatnya episod tersebut, Sarah dilihat semakin aktif mengembangkan kerjaya. Selain kembali menerima pelbagai tawaran lakonan, dia turut mengukuhkan perniagaan sendiri dan turut bekerjsama bersama aktor terkenal Indonesia, Andi Arsyil sebagai rakan niaga.

Kini, hubungan antara pelakon Puteri Sarah Liyana dan aktor Indonesia, Andi Arsyil, berkembang daripada rakan kongsi perniagaan kepada fasa mengenali hati budi masing-masing. Malah, Sarah menyifatkan Andi sebagai mentor perniagaan yang sentiasa ada di sisinya, dan mereka sering tampil bersama menjual produk kecantikan di media sosial.

Sarah juga serta sering berkongsi mengenai perjalanan hidup, keibubapaan dan pembangunan diri di media sosial. Ketabahannya mengharungi pelbagai ujian menjadikan Puteri Sarah antara figura wanita yang sering dijadikan inspirasi oleh peminat, khususnya golongan ibu tunggal.

5. Abby Abadi

Pelakon dan penyanyi, Abby Abadi pernah melalui episod perceraian yang mendapat perhatian ramai, namun dia berjaya membina semula kehidupan dengan memberi fokus kepada keluarga dan kerjaya.

Nama Abby kembali menjadi sorotan ramai sejak minggu lalu apabila dia meluahkan isi hatinya yang mengakui masih tersimpan rasa trauma sebagai seorang wanita yang terluka apabila melalui perceraiannya bersama aktor, Norman Hakim akibat orang ketiga.

Meskipun tidak aktif dalam bidang lakonan, namun bekas anggota kumpulan Elite itu meneruskan kehidupannya dalam bidang perniagaan demi menyara anak-anak. Kejayaannya sebagai usahawan membuktikan Abby adalah seorang wanita yang mampu bangkit dan meneruskan kehidupan dengan lebih positif.

Perceraian mungkin menjadi titik perubahan dalam kehidupan, namun lima selebriti ini membuktikan ia juga boleh menjadi permulaan kepada lembaran baharu. Dengan semangat yang kuat, sokongan keluarga serta kerja keras, mereka berjaya membina semula kehidupan dan kerjaya sehingga terus menjadi antara figura wanita yang disegani dalam industri hiburan tanah air.