berita

Bangkit Semula Selepas Putus & Kehilangan Kaki, ‘Posmen’ Ini Beri Inspirasi Buat Netizen

January 6th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Setiap manusia di muka bumi ini pasti akan diuji dengan pelbagai dugaan seperti ujian dari segi kesihatan, kewangan dan sebagainya. Namun, sebagai seorang Muslim, kita diajar supaya bersabar dan redha dengan ketentuan yang telah ditetapkan ini.

Begitulah nasib yang menimpa seorang lelaki yang dikenali sebagai Mohd Khairul Zamry, apabila dia kehilangan sebelah kakinya akibat kemalangan ketika bertugas. Menerusi Facebook Friends Of Posmen, Khairul kemalangan ketika keluar membuat penghantaran pada waktu pagi dari Pejabat Pos Jasin ke Kawasan Asahan di Melaka.

Sudah berkhidmat selama 16 tahun

Posmen putus kaki bangkit semula selepas kemalangan. Inilah kisah yang berlaku pada seorang Posmen bernama Mohd Khairul Zamry bin Zulkeffly yang berusia 34 tahun dari Kampung Serkam Pulai, Merlimau, Melaka. Khairul Zamry sudah berkhidmat dengan Pos Malaysia sejak 2004 lagi, 16 tahun yang lalu. Beliau aktif bermain bolasepak dengan KL Pos FC sebagai pemain pertahanan kiri.

Jika sesiapa yang minat pasukan English Premier League, EPL, posisi pemain pertahanan kiri adalah posisi pemain seperti Luke Shaw di Manchester United, Ben Chilwell di Leicester dan Andrew Robertson di Liverpool. Kalau zaman dulu semua masih ingat dengan Roberto Carlos, pemain Brazil.

Itulah posisi bagi Khairul Zamry bila bermain dengan pasukan KL Pos FC pada tahun 2011 hingga 2013. Pasukan KL Pos FC pernah memasuki Liga Perdana sekitar tahun 2011 hinga 2015. KL Pos FC sekarang dikenali sebagai DRB Hicom FC. Namun sesuatu yang tidak diduga berlaku pada Khairul Zamry pada bulan Oktober 2014. Tanggal hari raya kesepuluh bila Khairul pada ketika itu sedang bertugas sebagai seorang Posmen di Pusat Pemprosesan Mel Melaka.

Terhimpit ke divider

Kemalangan berlaku ketika Khairul keluar membuat penghantaran pada jam 9.50 pagi dari Pejabat Pos Jasin ke Kawasan Asahan. Kemalangan berlaku di selekoh Kampung Rim dengan sebuah kereta Toyota Datsun. Khairul menceritakan pada waktu itu kereta Toyota Datsun itu memberi signal hendak ke kanan tetapi kemudian tiba-tiba membelok ke kiri.

Khairul yang membawa motorsikal tidak sempat mengelak dan besi beg Posmen di motor terkena pintu dan terus terhimpit ke divider kiri jalan yang tajam. Ini menyebabkan kaki Khairul terus terputus di situ juga. Pembaca boleh cuba membuat carian google “posmen kaki putus” untuk membaca cerita kemalangan tragis ini dalam versi yang berlainan.

Kemalangan ini berlaku satu hari sebelum final untuk pasukan CBoyo United yang ditubuhkan Khairul dengan abang dan kawan-kawannya di Melaka. Pasukan bolasepak CBoyo United ketika itu sudah berusia 4 tahun. Daripada sebuah pasukan yang tidak dikenali, kemudian ianya menjadi sebuah pasukan yang dikenali di Melaka.

Membuat kerja dalaman untuk menyara keluarga

Khairul telah mengambil cuti selama 9 bulan untuk pulih dan bangkit semula. Khairul mengalami trauma selepas kemalangan namun redha dengan ketentuan Allah SWT. Khairul menyatakan ramai kawan-kawannya dari Kuala Lumpur dan Melaka datang melawat dan memberi semangat dan kekuatan untuk beliau bangkit kembali.

Paling diingati adalah rakannya yang bernama Shafik, seorang Posmen yang juga kehilangan kaki kerana kemalangan motosikal semasa membuat penghantaran surat. Kini Khairul telah bangkit kembali dalam hidupnya selepas kemalangan ngeri tersebut. Bangkit bertugas sebagai seorang Posmen dan meneruskan hobinya dengan bola sepak.

Khairul kini masih bertugas dengan Pos Malaysia dan membuat kerja kerja dalaman dalam menyara seorang isteri dan dua orang anaknya yang berusia 7 tahun dan 1 tahun. Minat Khairul terhadap bolasepak tidak pernah padam biarpun kini menggunakan kaki palsu. Itulah bakat Khairul, yang mula bermain bola sepak ketika mula bekerja di Bahagian Mel Melaka, dan selepas itu bemain bolasepak dengan Persatuan Bolasepak Negeri Melaka.

Berkecimpung sebagai coach bola sepak

Bakat bolasepaknya itu hadir seawal zaman sekolah lagi bila Khairul aktif bermain bola sejak mewakili Sekolah Menengah Sungai Rambai. Kaki palsu bukan alasan untuk halang kerjaya dan minat Khairul. Kini Khairul
berkecimpung sebagai coach bola sepak di Merlimau. Khairul membuat coaching dalam 1 ½ jam setiap hari, tanpa bayaran kerana minat dan kini menjadi coach kepada Serkam United. Melatih pasukan itu dalam video secara bercakap.

Khairul bercita-cita membawa pasukan Serkam United ke tahap yang lebih tinggi. Khairul kini sedang berusaha mendapatkan coaching license dari FAM. Khairul berterima kasih dengan keprihatinan dari pihak majikannya, Pos Malaysia yang begitu menjaga kebajikan pekerjanya.

Walaupun kaki putus, tetapi Khairul masih diberi peluang bekerja di bahagian belakang pejabat dengan kerja-kerja yang lebih ringan dan tidak membebankan. Khairul tidak putus asa dalam hidup dan sentiasa mencari sesuatu yang baru untuk tingkatkan potensi dirinya. Malah Khairul masih menyimpan cita-cita untuk mendapat kenaikan pangkat dalam kerjayanya di Pos Malaysia.

Bangkit semula dari kemalangan

Bolasepak masih menjadi hobi utama Khairul untuk melahirkan bakat-bakat baru dalam bola sepak di Melaka. Walaupun tidak memiliki sebelah kaki, pengalaman dari kemalangan membuatkan keyakinan diri Khairul lebih tinggi. Malah Khairul tidak pernah berputus asa dalam hidupnya.

Khairul berpesan kepada semua pembaca dan rakyat Malaysia agar jangan sesekali malu dengan kekurangan diri. “Jangan putus asa dan percaya dengan perancangan Allah SWT yang lebih baik” kata Khairul sebagai penutup perbualan kami.

Moga Khairul terus berjaya dalam kerjaya dan hobi yang diminatinya. Kita semua ambillah kisah positif Khairul ini sebagai suatu inspirasi dan aura positif baru dalam hidup kita. Kongsikan kisah ini bersama semua rakyat Malaysia.Terbaiklah abam Posmen, terbaiklah abam Khairul, Posmen yang bangkit semula dari kemalangan dalam hidupnya.

Sumber: Friends Of Posmen

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.