
Personaliti media sosial dan guru, Zack Kirana menegur tindakan segelintir pihak yang menggunakan soalan ramalan sebagai strategi pemasaran program persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Anak Tak Ada Hati Perut, Tanya Mak Ayah Dulu Baru Tanya Cikgu’ – Zack Kirana
Artikel Berkaitan: Cikgu Zack Kirana Tegur Kekeliruan Ejaan ‘Ramadan’, Bukan ‘Ramadhan’ – ‘Cara Sebut Sahaja Berbeza’
Soalan spot tak keluarlah!
View on Threads
Menerusi perkongsian di Threads, Zack atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim berkongsi pandangannya mengenai budaya mempromosikan soalan ramalan yang sering timbul menjelang peperiksaan SPM.
Menurutnya, perkara tersebut boleh memberi kesan terhadap keadaan mental calon yang sedang berdepan tekanan peperiksaan.
Setiap tahun masa exam SPM, ‘Soalan spot tak keluarlah!’
Kita ini sepatutnya didik calon peperiksaan untuk hadapi ketidakpastian, bukannya bergantung pada ramalan.
Dalam keadaan terdesak, calon memang lebih mudah terpengaruh dengan sesuatu yang menawarkan harapan dan kepastian.
Kita panggil ini sebagai kerentanan psikologi (psychological vulnerability).
Dalam pada itu, Zack turut menjelaskan pendekatan tersebut boleh menyebabkan calon mengabaikan persediaan menyeluruh yang telah dilakukan sepanjang sesi pembelajaran.
Tambahnya, keadaan itu juga berisiko menjejaskan keyakinan mereka apabila soalan yang dijangka tidak muncul dalam peperiksaan sebenar.
Berbulan-bulan, (malah bertahun-tahun) cikgu di sekolah ajar murid fahami konsep, kuasai teknik dan bina keupayaan untuk jawab apa-apa sahaja soalan yang dikemukakan.
Tapi, apabila makin hampir dengan peperiksaan, mereka disogok dengan label ‘soalan ramalan’ dan ‘soalan spot’. Akibatnya, banyak calon alami tumpuan terhad (tunnel vision) iaitu terlalu tertumpu pada satu kemungkinan sampai abaikan semua ilmu dan kemahiran yang telah dikuasai.
Apabila soalan yang diramalkan tidak keluar, mereka berisiko hilang keyakinan, malah gagal memanfaatkan semua senjata yang cikgu sekolah bekalkan selama ni.
Bagaimanapun, Zack berpendapat program berasaskan analisis soalan tetap memberi manfaat kepada calon.
Namun, Zack percaya bahawa kebergantungan calon terhadap perkara tersebut boleh menyebabkan mereka berasa tertekan.
Nak buat program berdasarkan analisis soalan peperiksaan bagus supaya calon nampak corak soalan. Banyak cikgu buat dan memang bermanfaat. Sampai sekarang saya ikut cara cikgu sekolah ni.
Sebagai institusi luar, saya tidak akan sesekali pakai modal ‘soalan ramalan’ sampai strategi pemasaran itu mengeksploitasi kerentanan psikologi calon yang sedang berdepan dengan tekanan peperiksaan.
Banyak sahaja program yang jaja soalan ramalan atau spot ini akhirnya kecewakan calon sebab tidak keluar pun.
Mengulas lanjut, Zack turut berkongsi nasihat majikannya agar tidak menjadikan soalan ramalan sebagai bahan promosi kerana boleh menimbulkan persoalan dari sudut keberkatan rezeki.
Sir Shakib, majikan saya pesan dari dulu, ‘Kau jangan jaja soalan spot dalam kelas, ya. Risau nanti boleh jatuh menipu. Macam mana kau nak yakin rezeki kau halal ke tidak?’
Anda boleh menjual program, tetapi jangan sesekali mengeksploitasi keadaan terdesak seseorang demi keuntungan komersial.
Sumber: Threads