Sering mendapat perhatian ramai dengan gelagatnya yang mencuit hati, pempengaruh cilik Abang Aji banyak berdepan dengan pelbagai karenah peminat.

Artikel Berkaitan: Pekerja Sifatkan Bapa Abang Aji Majikan Hebat, Netizen ‘Backup’ – ‘Siapa Kata Tunggang Anak..Duit Dia Pun Berkepuk’

Artikel Berkaitan: Bapa Abang Aji Perjelas Video Makan Hanya Konten & Pemakanan Dipantau – ‘Badannya Begitu Sebab Minum Susu’

Dikenali ramai 

Ketika ditemui OhBulan, bapa kepada Abang Aji iaitu Mohd Redzuan Zainol memaklumkan bahawa anaknya itu kurang selesa ketika disentuh peminat.

Justeru, Redzuan mengambil pendekatan untuk menegur mereka dengan cara yang baik.

Nak ambil gambar tak ada masalah, cuma yang susahnya apabila terlalu ramai peminat. Mood dia kadang-kadang tak okay sebab penat.

Tapi team saya pernah beritahu peminat dia, kalau boleh semasa bergambar jangan pegang dia.

Ada yang cubit sebab geram dengan kecomelan dia. Kita pun kalau dicubit mesti sakit, inikan pula budak. 

Sebab itu dia tak nak orang pegang dia, mungkin dia tak selesa.

Redzuan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media drama bersiri Hello Bam Bam di KopiHut Sri Rampai baru-baru ini.

Mula berlakon

Dalam perkembangan lain, Redzuan berkata dia sama sekali tidak menjangkakan bahawa anak lelakinya itu akan membintangi drama terbaharu berjudul Hello Bam Bam.

Tak pernah terlintas dia akan sampai ke tahap ini sehingga dapat jadi pelakon. 

Pada mulanya kami buat konten hanya untuk suka-suka sahaja, tak pernah mimpi dia boleh berlakon.

Semasa ditawarkan untuk drama ini, kami ada beritahu pihak produksi supaya ikut mood Abang Aji. Maksudnya, kalau dia rasa okay, boleh diteruskan tapi kalau tidak, kena bagi dia rehat.

Tapi Alhamdulillah, sepanjang penggambaran para pelakon banyak bagi sokongan kepada dia. Artis pun semua profesional.

Menurut Redzuan, Abang Aji banyak menerima tawaran lakonan namun buat masa ini dia terpaksa menolak kerana kekangan masa selain mahu memfokuskan kepada tumbesarannya sebagai seorang kanak-kanak.

Buat masa ini ada tawaran lain, tapi saya belum terima.

Saya nak bagi dia berehat jadi terpaksa tolak tawaran dalam masa terdekat ini. 

Halangannya adalah masa, sebab saya masih bekerja. Saya juga mahu dia membesar dengan baik terlebih dahulu sebelum terima banyak tawaran lain.

Untuk info, drama yang berkisarkan tentang isu kesihatan mental itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Azwan Ali, Syafie Naswip, Maria Farida, Sofi Jikan, dan Kodi Rasheed.

Drama bersiri Hello Bam Bam ini bakal ditayangkan di aplikasi TikTok tidak lama lagi.