Bapa kepada penyanyi Amylea iaitu Azizan Zainal Abidin, 62, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pada petang Rabu.
Ayah pergi selamanya
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Amylea, 34, memohon agar orang ramai mendoakan untuk bapanya, memaafkan kesilapan serta menghalalkan segala makan dan minum.
Assalamualaikum. Ayah yang saya cintai dan kasihi telah meninggalkan kami semua buat selama-lamanya. Mohon sedekahkan doa buat Azizan Zainal Abidin.
Ampunkan salah silap, halalkan makan minumnya.. Sekiranya ada hutang yang saya tak tahu, tolong khabarkan pada saya.
Dia adalah ayah yang hebat
Dalam pada itu, pelantun lagu Tak Pernah Hilang akui berasa sakit apabila diduga dengan kehilangan insan tersayang.
Bagaimanapun, dia berbangga kerana dikurniakan seorang ayah yang hebat dalam kehidupannya.
Saya telah kehilangan dia selama-lamanya. Tidak ada rasa sakit yang lebih besar daripada kehilangan ayah atau ibu.
Allah swt saja yang tau dugaan demi dugaan. Ayah saya adalah kurniaan Allah kepada saya dan saya bersyukur kerana memiliki ayah yang hebat. Dia adalah seorang suami, ayah yang sangat baik dan bertanggungjawab.
Terima kasih Allah untuk beberapa tahun yang diberikan kepada saya. Terima kasih kerana menjadikan saya anak perempuannya, saya sangat bangga dengannya. Saya sangat mencintainya.
Terlalu banyak budi yang belum saya balas. Sama-sama kita doakan rohNya di kalangan orang-orang yang beriman.
Pada Julai lalu, Amylea pernah merayu sumbangan derma kilat bagi membiayai kos rawatan bapanya yang mengalami sakit jantung sejak dua tahun lalu.
Sumber: Instagram @amyleaazizan