Seorang bapa tampil mempertahankan anak perempuannya selepas tular dakwaan mengaitkan gadis tersebut sebagai salah seorang pembuli dalam kes melibatkan remaja sekolah yang meninggal dunia baru-baru ini, Zara Qairina.

Artikel Berkaitan: Netizen Puji Hot FM Putar Lagu ‘Justice For Zara’ – ‘Stesen Lain Patut Ikut, Tanda Solidariti’

Nafi anak terlibat

Individu dikenali sebagai Muhammad Yasim menegaskan anaknya, Nurul Qurratu Aini tidak terbabit langsung dalam insiden berkenaan kerana telah berpindah sekolah sebelum kejadian berlaku.

Saya, bapa kepada pelajar bernama Nurul Qurratu Aini binti Muhammad Yasim (berbaju merah) menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang cuba mengaitkan anak saya dengan kes Zara Qairina.

Menurut Muhammad Yasim, anaknya pernah bersekolah di sekolah yang dikaitkan dengan kes buli berkenaan hanya sehingga tahun 2024.

Anak saya bersekolah di sana dari tahun 2022 (Tingkatan 1) hingga 2024 (Tingkatan 3). Namun, pada awal 2025, dia telah menerima tawaran dan berpindah ke Kolej Vokasional Lahad Datu dan masih bersekolah di sana sehingga hari ini.

Lebih membimbangkan, tular sebuah video yang mengaitkan Nurul Qurratu Aini sebagai “pembunuh”, meskipun dakwaan itu tidak berasas.

Muhammad Yasim menegaskan dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah tersebut.

Saya telah membuat laporan polis terhadap individu yang memuat naik gambar dan video anak saya.

Walaupun mereka sudah memadam kandungan tersebut dan memohon maaf, masih ada yang terus menyebarkannya.

Saya berharap semua pihak memastikan kesahihan maklumat sebelum berkongsi atau menularkannya. Jangan kerana sikap tidak peduli, orang lain menjadi mangsa.

Sumber: Majoriti