Bekerja sebagai anggota bomba, penyanyi dan pelakon, Syafiq Farhain mengimbau kembali detik pertama kali menemui mangsa rentung dalam satu operasi kebakaran.

Artikel Berkaitan: Bakal Bergelar Bapa, Isteri Syafiq Farhain Menunggu Hari Untuk Bersalin

‘Bau steak’

Menerusi podcast Oh Penjawat, Syafiq memberitahu kejadian tersebut berlaku ketika dia menyertai operasi memadam kebakaran melibatkan sebuah rumah kayu.

Menurut Syafiq, pengalaman tersebut menjadi detik paling sukar dalam kerjayanya sebagai anggota penyelamat kerana itu merupakan kali pertama dia berhadapan sendiri dengan kejadian melibatkan kehilangan nyawa.

Ini cerita waktu operasi, terima satu panggilan kecemasan kebakaran rumah kayu. Apabila saya sampai, kami semua terus jalankan kerja pemadaman.

Dalam pada kawan-kawan lain padam api, saya masuk ke dalam rumah. Saya terbau sesuatu yang sedap, terbau macam steak (daging bakar).

Keadaan ketika itu sangat gelap sebab asap tebal. Cari punca bau steak itu, rupanya bila lihat bau itu merupakan dari mangsa yang sudah terbakar. Sebab itu bau daging bakar.

Dalam masa sama, Syafiq berkata pengalaman itu turut memberi kesan emosi kepadanya sehingga terbawa-bawa selepas pulang ke rumah.

Saya pertama kali mengalami kejadian melibatkan nyawa ketika itu, selepas melihat mangsa, macam-macam berlegar dalam fikiran. Rasa takut dan terbawa ke rumah, badi.

Tapi menurut senior, mereka kata kalau nak lihat, lihat daripada kaki kemudian naik ke badan. Itu tips mereka, jangan terus tengok muka.

Dalam pada itu, Syafiq turut menitipkan pesanan kepada orang ramai supaya tidak mengambil mudah soal keselamatan ketika berlaku kebakaran, terutama apabila panik.

Kesalahan yang ramai buat adalah, apabila berlaku kebakaran mereka akan menyorok. Dengan asap yang tebal menyebabkan mereka pengsan kerana sesak nafas.

Nasihat kami anggota bomba, jika ada kebakaran sama api kecil atau besar, tak mampu nak padam, tolong lari keluar rumah. Saya tidak mahu kes sama berulang lagi.

Sumber: TikTok