Berbaki masa kurang tiga minggu sebelum pertandingan akhir Miss Universe ke-69 yang akan dilangsungkan di Seminole Hard Rock Hotel Hollywood, Florida di Amerika Syarikat, perkara yang paling dinanti oleh peminat pertandingan ratu cantik itu pastinya persiapan wakil negara mereka.
Francisca Luhong James yang bakal mewakili Malaysia ke pentas berprestij itu, dilihat sudah bersedia dan bakal mempersembahkan tema unik iaitu representasi suasana kampung yang ada di negara ini.
Suasana kampung
Menurut Francisca, kostum kebangsaan itu merupakan cetusan idea pereka tempatan, Carven Ong dengan kerjasama Wesley Hilton of Borneo Doll. Mereka telah mengangkat elemen dari empat budaya berbeza iaitu masyarakat Orang Asli, Melayu, Dayak dan Orang Ulu. Tambahnya, kostum ini menggambarkan elemen sebenar yang terdapat pada kampung di Malaysia dan menimbulkan perasaan nostalgia apabila melihatnya. Lebih istimewa, ia dibina tanpa menggunakan sebarang paku.
Ujarnya lagi, kostum seberat 45 kilogram ini disiapkan dalam tempoh tiga bulan bagi memastikan Francisca dapat melakukan latihan serta mempersembahkannya dengan lancar pada acara itu kelak. Antara elemen yang terdapat pada kostum kebangsaan berkenaan, ayam serama, songket, batik serta tikar mengkuang yang dianyam seperti bentuk bunga raya.
Antara kostum kebangsaan Miss Universe
Selain daripada kostum kebangsaan Miss Universe Malaysia, kostum Miss Universe Indonesia iaitu Rr. Ayu Maulida Putri dan Miss Universe Thailand, Amanda Obdam turut meraih tumpuan netizen. Ayu yang bakal mengenakan kostum seperti buaya itu dilihat anggun dan cantik. Manakala, Amanda pula mempunyai tiga pilihan untuk memilih kostum kebangsaan yang akan dipakai olehnya kelak.
Pertandingan Miss Universe kali ini menampilkan sistem undian bagi melayakkan seorang peserta dipilih ke Top 21 (tangga 21 teratas). Jadi, penonton boleh memilih mana-mana Miss Universe untuk layak ke pusingan tersebut. Tahun lalu, Zozibini Tunzi dari Afrika Selatan telah dinobatkan sebagai Miss Universe 2019.
Sumber: Francisca Luhong