Pelakon, Hisyam Hamid mendedahkan menerima banyak mesej berbaur kecaman dan hinaan daripada penonton selepas membawakan watak suami curang bernama Lukman dalam drama Ikatan Terlarang.

Artikel Berkaitan: ‘Kami Berkawan, Sayang Sebagai Teman Sekerja’ – Hisyam Hamid Jawab Hubungan Dengan Erysha Emyra

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Ada Posting Yang Saya Kurang Senang’ – Hisyam Hamid Akui Sedar Wujud Akaun Peminat Obses Di Media Sosial

Hisyam, 40, berkata, dia menganggap setiap kecaman yang diterima sebagai satu pujian kerana itu membuktikan watak yang dibawanya berjaya meninggalkan impak kepada penonton.

Dikecam memang antara cabaran sebagai seorang pelakon. Saya seronok sebab watak kali ini sangat berbeza daripada watak-watak yang pernah saya bawakan sebelum ini.

Selalunya saya pegang watak hero yang baik, tetapi kali ini saya jadi watak jahat. Memang sebelum ini saya pernah bawa watak antagonis, tetapi karakter ini berbeza.

Kecaman yang saya terima di media sosial memang hebat. Ada yang menghantar mesej secara langsung (DM) dan memaki saya dengan kata-kata seperti ‘sial punya jantan’.

Tapi saya anggap itu sebagai satu pujian. Bukan kerana saya seronok dikecam, tetapi ia menunjukkan watak itu benar-benar menjadi dan sampai kepada penonton.

Hisyam berkata demikian ketika ditemui pada program MeleTOP yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai gandingannya bersama Erysha Emyra, Hisyam memuji komitmen yang ditunjukkan pelakon itu sepanjang menjalani penggambaran meskipun ini merupakan kali pertama mereka bekerjasama.

Ini kali pertama saya berlakon dengan Erysha. Dia seorang pelakon yang sangat komited terhadap kerjanya. Dia akan mengkaji skrip terlebih dahulu dan memahami kepentingan setiap babak yang dilakonkan.

Mungkin ramai menganggap dia masih baharu dalam industri, tetapi keserasian antara kami sangat mudah dibina dan sepanjang penggambaran semuanya berjalan dengan baik.