berita

Bayi Hilang Selepas Ibu Bapa Dibunuh & Dibuang Dalam Hutan Ditemui 40 Tahun Kemudian

June 10th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Daily Star

Seorang bayi, Holly Marie Clouse yang dipercayai hilang di dalam hutan 40 tahun lalu ditemui hidup. Difahamkan, ibu bapa kandung Holly Marie Clouse telah dibunuh dan ditinggalkan di dalam hutan sekitar tahun 1981.

Bayi hilang lepas ibu bapa dibunuh

Lokasi mayat ditemui (Foto: Daily Star)

Memetik laporan Daily Star, pasangan suami isteri Harold Dean Clouse dan Tina Gail Clouse telah berpindah dari Florida ke Texas di Amerika Syarikat pada 1980. Mereka yang baru sahaja berkahwin kemudian dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Holly Marie Clouse. Namun siapa sangka, tidak lama selepas itu, pasangan suami isteri ini telah diseksa sebelum dibunuh dengan kejam ketika masing-masing berusia 17 dan 21 tahun. Harold dipercayai dipukul dan diikat manakala isterinya, Tina dicekik.

Mayat pasangan suami isteri ini ditemui di dalam hutan pada 12 Januari 1981 tetapi apa yang peliknya, pihak berkuasa langsung tidak menemui anak perempuan pasangan ini. Polis mula menjalankan siasatan lanjut untuk menjejaki bayi ini namun tiada sebarang petunjuk ditemui. Tahun demi tahun berlalu, dan kes kehilangan Holly Marie Clouse dilihat semakin kurang mendapat perhatian. Bagaimanapun, polis percaya bahawa Holly Marie Clouse masih hidup.

‘Bayi’ ditemui lepas 40 tahun ‘hilang’

Foto: Daily Star

Tetapi pada tahun lalu iaitu selepas pihak polis mengesahkan identiti ibu bapa Holly, mereka mula menjalankan pencarian Holly. Lebih mengejutkan, ‘bayi’ (Holly Marie Clouse) yang hilang itu kini telah dikesan ke Oklahoma selepas empat dekad. Hasil siasatan mendapati, Holly Marie kini sudah menjadi ibu kepada lima anak.

Difahamkan, pihak polis menemui Holly Marie di tempat kerjanya pada 7 Jun lalu iaitu pada hari kelahiran bapanya yang ke-63. Namun, masih tidak jelas apa yang berlaku kepada bayi Holly semasa dan selepas pembunuhan ibu bapanya. Sementara nenek Holly meluahkan rasa syukur kerana dapat bertemu semula dengan cucu kandungnya selepas hampir empat dekad.

Bukan itu sahaja, dia menganggap penemuan Holly di hari kelahiran Harold merupakan hadiah yang paling berharga dan bermakna buat mereka sekeluarga.

Sumber: Daily Star

SKIP THIS AD ×