
Pelakon, Linda Hashim mendakwa, suaminya, aktor Beego hanya menjadikan kematian ahli keluarganya sebagai alasan untuk tidak hadir pada prosiding kes perceraian mereka pada Selasa.
Artikel Berkaitan: ‘Kekasih Beego Cari Saya Marah-Marah, Mereka Mahu Mula Kehidupan Baru’ – Linda Hashim
Artikel Berkaitan: ‘Kalau Saya Pergi Kelab Malam, Tunjuk Bukti’ – Beego
Kematian hanya alasan

Linda atau nama sebenarnya, Norhazlinda Hashim, 41, berkata, pengurusan jenazah ahli keluarganya itu sudah selesai pada Isnin dan mendakwa mengetahui di mana keberadaan Beego.
Saya ada bukti dia (Beego) dekat mana. Sebab dia beritahu saya di mana keberadaan dia. Dia tidak datang pun pengebumian arwah mak cik dia pada Isnin. Dia tidak datang pun majlis kematian itu.
Dia hanya menggunakan alasan ada kematian. Tapi tak apa, Allah Maha Melihat, Allah Maha Mendengar, Allah Maha Mengetahui.
Saya serah sepenuhnya pada Allah, biar Allah sahaja yang atur segala perjalanan saya hingga pengakhiran yang sangat-sangat baik, insya-Allah.
Linda berkata demikian ketika ditemui pada prosiding kes perceraian dan pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Selasa.
Dalam pada itu, ibu dua cahaya mata ini mendakwa, Beego sengaja melambatkan kes perceraian mereka kerana mahu mengetahui terlebih dahulu jumlah nafkah anak-anak, edah dan mutaah yang akan difailkan olehnya.
Saya baru dapat tahu daripada peguam defendan (pihak Beego) kenapa dia tak nak lepaskan saya sebab dia nak tengok dulu saya fail nafkah. Apa-apa yang berkaitan dengan bab duit.
Sekiranya dia bersetuju, dia akan cerai. Sekiranya dia tak bersetuju, mungkin dia akan gantung lagi saya atau akan hold kes perceraian kami ini.
Nafkah idah, nafkah anak-anak, semua segala benda yang berkaitan duit. Saya rasa dia risaukan perkara itu. Dia menggunakan kuasa veto dia sebagai seorang suami untuk gantung selagi dia tak tengok berapa jumpah yang saya minta.
Tetapi buat masa sekarang ini saya tak fokus pun tentang nafkah sebab saya tak fikir pun pasal segala itu, duit dan sebagainya. Saya hanya nak bercerai sahaja. Tapi dia sibuk dengan hal yang sedemikian.
Sebab itu dia kadang-kadang sekejap nak cerai, sekejap tak nak. Sekejap dia bersetuju dan peguam saya pun ada bagitahu yang dia diberitahu dia bersetuju nak bercerai hari itu, tiba-tiba hari ini tak datang.
Sejak Januari lalu, rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, menjadi perhatian ramai apabila aktres berkenaan memfailkan perceraian dengan alasan tiada persefahaman.
Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun, mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak mereka.
Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Untuk rekod, Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.





![[VIDEO] Khairul Aming Nasihat Farah Dina Rancang Kerjaya, Kewangan – ‘Tak Nak One-Hit Viral, Kita Nak Sustain Lama’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/IMG_6309.jpeg)

