
Bekam merupakan perubatan tradisional yang menggunakan tekanan pada kulit untuk melancarkan aliran darah dan tenaga.
Artikel Berkaitan: Petua Cerahkan Siku Hitam Tanpa Kos Mahal, Mudah & Berkesan
Artikel Berkaitan: Tips Mudah Kurangkan Eyebag & Bengkak Bawah Mata
Dua kaedah bekam

Rawatan alternatif ini berasal dari Mesir dan Timur Tengah, dan tersebar ke Asia, termasuk Malaysia. Dalam kalangan orang Islam pula, bekam dianggap sebagai sebahagian daripada amalan perubatan Islam dan sunnah.
Dalam terapi semula jadi ini, terdapat dua kaedah utama yang digunakan, iaitu bekam angin dan bekam darah.
Kaedah bekam angin adalah dengan meletakkan cawan khas pada bahagian tubuh yang ingin dirawat, biasanya pada bahagian belakang.
Seterusnya, pengamal akan menyalakan sedikit api daripada herba, kertas, atau larutan alkohol di bawah cawan yang diletakkan bagi mewujudkan tekanan negatif antara cawan dan permukaan kulit.
Proses ini akan menyebabkan kulit di bawah cawan sedikit membengkak. Ada juga pengamal yang menggunakan alat penyedut khas untuk mengeluarkan udara dari cawan tersebut, bagi memastikan pembengkakan berlaku secara terkawal.
Bagi kaedah bekam darah pula, konsepnya hampir sama dengan bekam angin, tetapi ia melibatkan sedikit pemotongan pada kulit dengan menggunakan jarum atau pisau kecil di kawasan yang telah ditentukan.
Tujuan prosedur ini dilakukan adalah untuk mengeluarkan darah kotor atau terkumpul, sekaligus ia membantu melancarkan peredaran darah dan mengurangkan tekanan pada badan.
Manfaat bekam

Rawatan bekam menawarkan pelbagai manfaat kesihatan apabila diamalkan secara berkala. Salah satu kebaikannya ialah melancarkan peredaran darah.
Tekanan negatif yang terhasil di permukaan kulit semasa proses bekam membantu saluran darah meregang, membolehkan darah mengalir dengan lebih lancar.
Ini bukan sahaja meningkatkan penghantaran oksigen dan nutrien ke tisu, malah membantu otot menyingkirkan sisa toksin selepas aktiviti fizikal atau senaman, mengurangkan ketegangan otot, dan mempercepatkan pemulihan badan.
Selain itu, bekam turut mempunyai manfaat khusus pada wajah. Rawatan ini dipercayai dapat mengurangkan masalah seperti kayap, migrain, jerawat, serta kelumpuhan muka akibat strok atau ‘Bell’s Palsy’.
Dengan peningkatan aliran darah di kawasan yang dirawat, sel darah putih dan nutrien berupaya sampai dengan lebih efektif, merangsang pemulihan sel serta membantu tubuh menyingkirkan toksin atau bakteria.
Bagi mereka yang menghadapi masalah sendi atau penyakit reumatik, bekam darah boleh menjadi salah satu kaedah untuk meringankan simptom.
Melalui pengeluaran darah secara terkawal, bahan toksik dan penanda keradangan ini dapat dikurangkan, serta mengurangkan kesakitan dan meningkatkan pergerakan sendi.
Bekam juga memberi manfaat kepada individu dengan masalah kulit kronik seperti ekzema dan psoriasis. Meskipun tiada bukti saintifik yang kukuh untuk penyembuhan sepenuhnya, rawatan ini boleh membantu mengurangkan gejala keradangan.
Selain itu, bekam darah juga boleh dijadikan sebagai kaedah tambahan dalam mengawal tekanan darah tinggi. Pengeluaran darah secara terkawal dipercayai dapat membantu mengurangkan garam, kolesterol, dan lemak berlebihan dalam badan.
Selain manfaat fizikal, bekam juga dipercayai dapat menenangkan fikiran, mengurangkan stres, dan meningkatkan kesejahteraan mental serta emosi. Kombinasi bekam dan urutan semasa sesi rawatan memberi kesan menenangkan yang menyeluruh, baik untuk kesejahteraan tubuh dan minda.
Sumber: Doctor On Call







![[VIDEO] Individu Tegur Penampilan Nampak Dewasa, Thalita Bidas – ‘Saya Duduk Atas Pentas, Makeup Kena Tebal’](https://asset.ohbulan.com/2026/07/thalita-1.jpg)
