Seorang bekas peserta rancangan realiti popular Korea Selatan, I Am Solo, dijatuhi hukuman penjara selepas disabitkan atas kesalahan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita.

Didakwa lakukan serangan seksual

Sekadar Gambar Hiasan

Memetik laporan Koreaboo, Young Chul atau nama sebenarnya Park Jae Hong, 35, ditahan polis pada Jun 2024 kerana melakukan serangan terhadap seorang wanita ketika dirinya masih terlibat dalam rancangan berkenaan.

Pada 19 September lalu, Mahkamah Daerah Barat Seoul menjatuhkan hukuman penjara setahun enam bulan terhadap Park atas pertuduhan quasi-rape. Namun, hukuman tersebut ditangguhkan selama tiga tahun. Sekiranya tidak melakukan kesalahan baharu dalam tempoh itu, Park tidak perlu menjalani hukuman penjara.

Selain itu, mahkamah juga mengarahkan Park menjalani 40 jam program rawatan berkaitan jenayah seksual serta melarangnya bekerja di mana-mana institusi yang melibatkan kanak-kanak, remaja dan golongan kurang upaya untuk tempoh lima tahun.

Terdahulu pada Jun 2024, sekitar jam 3.30 pagi, Park dilaporkan menyerang mangsa berusia 20-an dalam keadaan mabuk di sebuah kawasan parkir berhampiran Hongdae, Seoul, Park.

Mahkamah menegaskan bahawa tindakan Park telah meninggalkan kesan trauma mendalam kepada mangsa, baik dari segi emosi mahupun fizikal. 

Hakim Kim Woo Hyun bagaimanapun menjelaskan keputusan itu mengambil kira beberapa faktor, termasuk pengakuan salah Park, penyesalannya serta keputusan mangsa untuk tidak meneruskan tuntutan selepas mencapai penyelesaian.

Park sebelum ini mencuri perhatian umum menerusi program I Am Solo terbitan ENA dan SBS Plus, termasuk versi spin-off rancangan itu. Selepas penahanannya, pihak produksi segera memohon maaf dan memadam semua penampilan Park bermula siaran 26 Jun.

Rakan-rakan peserta lain juga dilihat mengambil tindakan menjauhkan diri daripadanya dengan memadam foto serta kandungan berkaitan di media sosial masing-masing.

Sumber: Koreaboo