berita

Bekerja Dari Rumah, RUU Anti Gangguan Seksual Antara Komitmen Kerajaan Terhadap Golongan Wanita

November 14th, 2022 | by Nurul
Kini Trending

Kredit: Prime Minister’s Office Official Website

Dalam menuju ke arah pembangunan dan perkembangan ekonomi negara, peranan wanita tidak boleh diketepikan. Ini kerana terlalu banyak sumbangan wanita dalam aspek ekonomi, sosial dan politik yang dilihat begitu dominan di kebanyakan negara-negara di dunia.

Di Malaysia sendiri, kaum wanita telah diberi kepercayaan dalam memegang jawatan-jawatan penting dalam sistem pentadbiran negara.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, golongan wanita merupakan harapan bangsa dan turut menyumbang kepada kejayaan sesebuah negara. Atas sebab itu, golongan ini sentiasa menjadi keutamaan Kerajaan dan perlu diberikan pengiktirafan selayaknya.

Buktinya, hak dan nasib golongan wanita di Malaysia sentiasa mendapat perhatian beliau dengan pelbagai inisiatif, program, dasar dan undang-undang pemerkasaan wanita telah diluluskan dan dilaksanakan.

Kredit: Bernama

Memetik ucapan Perdana Menteri sempena Sambutan Hari Wanita 2022 pada Mac lalu, berdasarkan Skor Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2021, kadar penglibatan wanita dalam bidang ekonomi dan politik masih lagi rendah dan kadar pengangguran dalam kalangan wanita juga turut meningkat.

Oleh itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi membantu wanita dalam bidang pekerjaan, undang-undang dan pentadbiran.

Pekerjaan

Peka dengan nasib ibu tunggal, balu atau wanita yang mengetuai isi rumah untuk mencari nafkah buat seisi keluarga, pelbagai bentuk bantuan telah dibentangkan dalam Belanjawan 2020 dan telah dilaksanakan seperti berikut:

  • peruntukan RM19.9 juta bagi perlaksanaan program TEKUNNita yang telah memanfaatkan seramai 1,264 usahawan wanita
  • peruntukan sebanyak RM10 juta bagi program pembiayaan DanaNita (MARA)
  • bantuan asas modal perniagaan secara one-0ff sebanyak RM500 melalui Program MyKasih Kapital yang telah memanfaatkan 10,496 wanita (kalangan B40)
  • menawarkan peluang pekerjaan dan aktiviti keusahawanan bersama lebih 50 agensi Kerajaan dan swasta melalui Program Wanita Bangkit@KPWKM

Dalam pada itu, kerajaan juga telah mengumumkan Pindaan Akta Kerja 1955 bagi memanjangkan tempoh cuti bersalin kepada 98 hari serta memberi kebenaran Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam tempoh bersesuaian bagi wanita yang kematian suami untuk menyelesaikan urusan keluarga, anak-anak dan peninggalan suami.

Undang- Undang

Percaya bahawa agenda memperkasa dan melindungi wanita merupakan suatu tanggungjawab besar, Kerajaan sebulat suara telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual (AGS) pada Julai tahun ini untuk dikuatkuasakan secara berperingkat.¹

Pada 4 Ogos 2022 pula, RUU Jenayah Intip dan Hendap (Anti Stalking Law) telah dibentang di Dewan Rakyat.²

Usaha ini adalah untuk mengiktiraf gangguan seksual sebagai pencabulan maruah manusia, diskriminasi dan keganasan berasaskan jantina.

Berkaitan penceraian, Kerajaan turut memperkenalkan Akta Pembiayaan Kewangan yang membolehkan pihak bank membekukan akaun bank suami (atas arahan mahkamah) serta membenarkan pembayaran daripada akaun suami atas tuntutan isteri (hiwalah).³

Pentadbiran

Selain Penubuhan Majlis Wanita Negara, Kerajaan juga telah bersetuju untuk mewajibkan Sambutan Hari Wanita pada 8 Mac setiap tahun di semua peringkat sama ada Persekutuan mahupun negeri bagi menghargai dan mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita.

Jelas Perdana Menteri, kerajaan akan terus menerus cakna tentang kebajikan dan kesejahteraan kaum wanita kerana beliau yakin, jika diberi peluang dan ruang, wanita mampu menjadi daya penggerak utama produktiviti dan ekonomi negara setanding lelaki.

Rujukan:

1 & 2. https://www.pmo.gov.my/2022/08/teks-ucapan-sempena-sambutan-hari-wanita-ke-60-anjuran/?highlight=%22pemerkasaan%20wanita%22

3. https://www.pmo.gov.my/ms/2022/03/teks-ucapan-sempena-sambutan-hari-wanita-2022-2/?highlight=%22pemerkasaan%20wanita%22

4. https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/03/17/enam-inisiatif-memperkasakan-wanita/

SKIP THIS AD ×