berita

Belanjawan 2023: Manfaat Buat Wanita & Ini Tumpuan Utama Yang Korang Perlu Tahu!

April 28th, 2023 | by Syakilla Marzuki
Kini Trending

Seperti yang korang semua tahu, Belanjawan 2023 telah pun dibentangkan Februari lepas.. Banyak  manfaat yang korang boleh dapat melalui belanjawan tersebut. Tak lupa juga untuk para wanita yang merupakan antara fokus  utama di bawah inisiatif Belanjawan 2023.

Sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan kestabilan keluarga untuk rakyat Malaysia, Belanjawan 2023 dirangka untuk memastikan perlindungan sosial dan ekonomi wanita Malaysia sentiasa terpelihara. Ia juga bagi  memastikan peluang pekerjaan serta perniagaan mudah diakses oleh mereka. 

Jom kami senaraikan  tumpuan utama Belanjawan 2023 buat semua  wanita yang korang perlu tahu!

1. Ujian saringan Mamogram & Kanser Serviks

Kerajaan memberikan bantuan untuk golongan wanita yang layak bagi menjalani saringan awal ujian mamogram di pusat-pusat mamogram yang terpilih. Subsidi ujian saringan mamogram & kanser serviks ini bertujuan untuk wanita melakukan saringan awal bagi mengesan Kanser Payudara & Kanser Serviks. Sebanyak RM11.5 juta diperuntukkan untuk tujuan ini.

Saringan awal mamogram ini penting untuk meneliti kesihatan payudara serta mengesan ketulan pada payudara di peringkat awal yang mendorong kepada kanser payudara. Sementara itu, bantuan ini juga akan memberi peluang kepada wanita yang layak untuk membuat saringan bagi pengesahan awal kanser serviks.

2. Pelbagai dana pembiayaan untuk usahawan wanita

Di bawah Belanjawan 2023, pelbagai bantuan dan dana perniagaan diberikan untuk golongan wanita. Antaranya adalah RM300 juta yang dikhaskan untuk menyokong perniagaan mikro oleh usahawan wanita dan belia dalam kategori mikro dan penjaja kecil melalui kemudahan pinjaman di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia, BSN dan TEKUN. 

Selain itu, sebanyak RM235 juta diperuntukkan kepada usahawan wanita bagi dana pembiayaan model kerja dan pembelian aset untuk mengembangkan perniagaan mereka termasuk melalui:

  • TEKUNITA oleh TEKUN bertujuan untuk membiayai keperluan perniagaan.
  • Mikro Kasih: MikroNita oleh BSN bertujuan untuk membiayai modal kerja & pembelian aset.
  • DanaNITA oleh MARA bagi usahawan wanita Bumiputera bertujuan untuk membiayai modal pusingan serta pembelian mesin & peralatan.
  • BR Plus: i-Biz Lady oleh Bank Rakyat bagi usahawan wanita PMKS bertujuan untuk kelangsungan perniagaan

3. Pemberian geran bersamaan 80% daripada nilai gaji bulanan untuk wanita kembali bekerja

Bagi menggalakkan wanita kembali bekerja, pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 akan dibuat dengan tujuan untuk membolehkan pemberian geran bersamaan 80% daripada gaji bulanan yang diinsuranskan pekerja.

Dianggarkan lebih 130,000 wanita yang kembali bekerja selepas bersalin akan mendapat manfaat daripada geran ini yang melibatkan dana keseluruhan RM290 juta setahun.

4. Usaha pemerkasaan dari aspek sosial

Untuk menangani isu keganasan rumahtangga dan jenayah seksual wanita dan kanak kanak, peranan Pusat Sokongan Sosial Setempat akan diperkukuhkan dengan peruntukan sebanyak RM8.3 juta. Pelaksanaan Akta Antigangguan Seksual melalui Penubuhan Tribunal & Program Advokasi juga akan bantu untuk memperkasa lagi golongan wanita dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Ha…banyak betul kan manfaat yang korang boleh dapat melalui Belanjawan 2023 ini. Banyak lagi inisiatif dan bantuan lain ditawarkan yang juga boleh dimanfaatkan oleh golongan wanita. Inisiatif daripada kerajaan ini diharapkan dapat memberi sokongan dan menyuntik sedikit sebanyak semangat buat para wanita yang ingin mencipta kejayaan pada masa akan datang.

Kalau korang nak tahu lebih lanjut cara memohon dan kelebihan lain melalui Belanjawan 2023, boleh terus layari laman sesawang mereka di SINI. 

SKIP THIS AD ×