
Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz menyifatkan bakal menantunya, Bella Astillah seorang yang setia kerana sentiasa berada di sisi anaknya termasuk sepanjang berdepan kes mahkamah.
Artikel Berkaitan: Syed Saddiq Jawab Dakwaan Hilang Aura Ahli Politik – ‘Saya Tak Pernah Culas Tanggungjawab’
Artikel Berkaitan: ‘Sekarang Dah Boleh Fikir Nak Ikat Bunga Telur’ – Ibu Syed Saddiq
‘Layak jadi menantu’
Sharifah Mahani, berkata, kesabaran dan pengorbanan Bella sepanjang tempoh perbicaraan membuatkan dia yakin penyanyi dan pelakon itu merupakan wanita terbaik untuk anaknya.
Apa yang saya boleh katakan, bukan mudah untuk seseorang mendampingi Saddiq. Selama ini dia perlu turun naik mahkamah.
Saya selalu tertanya-tanya, adakah dia akan bertemu pasangan yang sanggup berkorban dan melalui semua ini bersama-sama? Alhamdulillah, Bella sanggup.
Sebab itu apabila orang bertanya bila majlis akan diadakan, saya tidak pernah memberikan jawapan kerana hanya menunggu keputusan mahkamah. Apabila keputusan memihak kepada Saddiq, hati saya sangat gembira.
Sharifah Mahani berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, pada Isnin, sejurus keputusan rayuan akhir kes membabitkan Syed Saddiq diumumkan.
Dalam pada itu, Sharifah Mahani berkata, dia mendoakan agar segala urusan pasangan tersebut dipermudahkan dan hubungan mereka berakhir dengan ikatan perkahwinan.
Insya-Allah, dengan izin Allah, mereka akan disatukan. Saya nampak Bella benar-benar berjuang bersama Saddiq.
Dia bersama-sama mencari rezeki ketika Saddiq tidak mempunyai peruntukan dan sentiasa memberi kegembiraan kepada Saddiq.
Bagi saya, orang yang mampu membahagiakan anak saya itulah yang paling layak menjadi bakal menantu saya.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada semua pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Bersatu.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Untuk rekod, Syed Saddiq dan Bella Astillah mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.