berita

Berang Anak Buang Air Kecil Luar Mangkuk Tandas, Bapa Dipercayai Tumbuk & Tendang Perut Mangsa Sampai Maut

February 3rd, 2021 | by Shahira
Kini Trending

Seorang lelaki yang dikenali dengan nama Muhammad Salihin Ismail telah dibicarakan di mahkamah pada 2 Februari 2021 atas dakwaan membunuh anak tirinya yang berusia empat tahun. Insiden ini dipercayai telah berlaku sekitar bulan September 2018 yang lalu.

Punca kejadian

Foto: Reno Gazette Journal

Memetik laporan daripada Mothership.sg, suspek yang berusia 28 tahun telah bertindak menumbuk perut anak tirinya, Nursabrina Agustina Abdullah pada 1 September 2018 sehingga mangsa mengalami kecederaan parah. Kejadian ini dipercayai berpunca kerana Salihin berang dengan tindakan mangsa yang membuang air kecil di luar mangkuk tandas rumah mereka.

Difahamkan, suspek bersama ibu kandung Sabrina iaitu Syabillan Syamien Riyadi telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2016 dan ketika itu Sabrina baru berusia dua tahun. Hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang anak kembar. Mereka berlima telah tinggal di sebuah flat yang terletak di Bukit Batok, Singapura.

Menurut sumber, pasangan ini mula mengajar mangsa untuk menggunakan tandas sebagai persediaan untuk memasuki sekolah pada akhir September 2018. Ketika kejadian iaitu pada 1 September 2018, Syabillan tiada di rumah kerana bekerja dan dia telah meninggalkan Salihin bersama mangsa dan anak kembar mereka.

Perut ditumbuk, ditendang

Foto: Verywell Family

Tetapi lain pula yang jadinya apabila suspek mula naik angin selepas menemui tompokan najis air kecil di luar mangkuk tandas. Dia dalam keadaan marah terus memanggil mangsa sebelum mengangkat mangsa dan diletakkan di atas mangkuk tandas. Salihin kemudian bertindak menumbuk perut mangsa berkali-kali.

Tidak terhenti di situ, pada waktu petang pula, Sabrina sekali lagi memberitahu bapa tirinya itu bahawa dia ingin membuang air kecil. Tetapi Salihin sebaliknya meminta Sabrina untuk pergi ke tandas sendirian. Namun, tidak lama selepas itu, Salihin masuk ke tandas dan mendapati anaknya itu sekali lagi telah membuang air kecil di luar mangkuk tandas.

Dia terus memanggil Sabrina dan menolak anak kecil itu hingga terjatuh ke lantai. Salihin kemudian menendang Sabrina berkali-kali sehingga anak kecil itu menangis dan meraung kesakitan. Meskipun begitu, Salihin langsung tidak mengendahkan tangisan mangsa. Dia telah mengangkat Sabrina, meletakkannya di atas mangkuk tandas dan menumbuk perut mangsa. Salihin kemudian meninggalkan Sabrina bersendirian di dalam tandas berkenaan.

Mengadu sakit perut dan muntah

Foto: Okezone News

Pada waktu malam, Sabrina mengadu kepada ibunya bahawa dia sakit perut dan tidak lama kemudian, Sabrina telah muntah di atas sofa. Oleh itu, Syabillan dan Salihin telah menyapukan minyak di perut Sabrina. Tetapi keadaan Sabrina berlanjutan sehingga keesokan harinya.

Malah dia kerap muntah sehinggalah pada suatu ketika, Salihin bertindak menjolok tekak Sabrina selepas melihat mangsa mengalami kesukaran untuk muntah.

Tidak lama selepas itu, mangsa dikatakan terus muntah dan tidak sedarkan diri. Dia yang cemas terus meminta isterinya untuk menghubungi ambulans. Setibanya pihak paramedik di rumah, mereka mendapati Sabrina sudah tidak bernafas dan nadinya juga sudah terhenti.

Mereka kemudian membawa Sabrina ke hospital dan dia disahkan meninggal dunia. Hasil bedah siasat mendapati bahawa dia meninggal dunia akibat pendarahan dalaman kerana trauma objek tumpul pada perut. 

Pernah siram mangsa dengan air panas

Sekadar gambar hiasan

Ekoran daripada insiden itu, Salihin telah ditahan oleh pihak polis untuk membantu siasatan. Semasa soal siasat, Salihin mengaku telah menumbuk perut mangsa dengan alasan mahu ‘mengajar’ anaknya itu supaya membuang air kecil dengan betul. Malah, Salihin juga dipercayai telah bertindak menyiram mangsa dengan air panas ketika memandikan mangsa sekitar tahun 2017 yang lalu.

Sementara itu, perbicaraan akan bersambung semula pada Rabu (3 Februari 2021) dan pihak pendakwaan dijangka mengemukakan bukti daripada 58 saksi. Jika disabit bersalah, Salihin bakal berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dengan sebatan.

Sumber: Mothership.sg, The Straits Times, Channel News Asia

SKIP THIS AD ×