berita

Berang Minta ‘Putus’, Remaja 19 Tahun Tekup Muka Teman Wanita Dengan Bantal Hingga Mati

August 26th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dipercayai membunuh kekasihnya, 24 tahun dengan menekup muka menggunakan bantal gara-gara berang mangsa mahu memutuskan hubungan mereka. Insiden tersebut berlaku di sebuah rumah di Kampung Pandan, Klang.

Berang sebab mangsa minta ‘putus’

Sekadar gambar hiasan

Menurut Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang wanita yang merupakan rakan suspek. Difahamkan, suspek telah menghubungi rakannya itu menerusi panggilan video WhatsApp dan meminta bantuan untuk mengambilnya di lokasi kejadian kerana suspek mengakui telah menekup muka kekasihnya (mangsa) menggunakan bantal sehingga tidak sedarkan diri.

Pihak polis telah sampai di lokasi kejadian dan mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah jenis lot di kawasan Kampung Pandan, Klang. Mangsa telah dijumpai dalam keadaan terbaring di atas katil di dalam sebuah bilik rumah tersebut.

Hasil pemeriksaan mendapati tubuh badan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak ambulans mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Difahamkan Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor telah menemui beberapa barang yang boleh membantu siasatan.

Tambah Hoong Fong lagi, suspek berusia 19 tahun yang bertindak melarikan diri akhirnya berjaya ditahan polis di tepi jalan berdekatan lokasi kejadian. Turut dirampas pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian. Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Sumber: Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan

SKIP THIS AD ×