berita

Bercakap Terlalu Kuat Di Telefon, Pembantu Kedai Ditetak Oleh Rakan

June 28th, 2021 | by Iera Zahirah
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Padah bercakap terlalu kuat ketika berbual di telefon, seorang pembantu kedai perabot cedera parah akibat ditetak oleh rakannya sendiri di Taman Nusa Bestari, Iskandar Puteri, Johor Bahru semalam.

Ditetak tiga kali di kepala

Foto kredit : Harian Metro

Insiden berkenaan terjadi apabila dia dikatakan tidak mahu menerima teguran daripada rakannya untuk memperlahankan suaranya ketika berbual menerusi telefon di dalam biliknya malah dia memarahi rakannya itu dengan mengeluarkan kata-kata kesat.

Akibat berang mendengar kata-kata berkenaan, rakannya mengeluarkan parang dari dalam seluarnya dan menetaknya di bahagian kepala ketika dia sedang keluar dari biliknya. Takut dengan tindakan kawannya itu, dia dikatakan berlari menyelamatkan diri dan dipercayai ditetak sebanyak tiga kali di bahagian kepalanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, kejadian berkenaan berlaku pada pukul 5.15 petang dan pihak polis telah menerima satu laporan mengenai pergaduhan antara dua lelaki di sebuah premis penginapan bilik sewa di tempat kejadian.

Pihak polis bergegas ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki sudah berlumuran darah di kepalanya.

Siasatan awal mandapati, mangsa ditetak rakan sebiliknya sendiri dengan tiga kesan tetakan di kepalanya.

Ujian air kencing suspek negatif

Sekadar gambar hiasan

Kini mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan berada dalam keadaan yang stabil. Hasil siasatan mendapati mangsa sebenarnya mempunyai 15 rekod lampau yang berkaitan dengan dadah.

Berpandukan maklumat awam dan saksi di tempat kejadian polis menahan seorang lelaki berumur 23 tahun yang dipercayai suspek di lokasi yang sama.

Suspek yang merupakan seorang pekerja kilang itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan keputusan ujian saringan air kencingnya adalah negatif serta bebas daripada dadah.

Polis turut merampas sebilah parang panjang kira-kira 37.7 sentimeter yang ditemui di lokasi kejadian.

Suspek akan dibawa ke mahkamah Johor Bahru bagi proses tahanan reman dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sumber : Harian Metro 

SKIP THIS AD ×