Umum mengetahui, aktor terkenal dan usahawan, Datuk Rosyam Nor menghadiahkan sebuah kerusi roda elektrik kepada pelakon veteran, Mak Jah, baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Mak Jah Sebak Terima Bantuan Kerusi Roda Elektrik, Duit Bulanan Daripada Rosyam Nor
Terbaru, Mak Jah tampil berkongsi mengenai keadaannya yang pernah terlantar berikutan tidak boleh berjalan selama tiga bulan. Ujar Mak Jah semuanya disebabkan oleh penyakit radang tulang dan radang saraf yang sudah lama dihidapinya.
Masuk duit untuk belanja
Menerusi laporan Harian Metro, Mak Jah atau nama sebenarnya Maimunah Ahmad berkata, dia masih dalam proses rawatan penyakit radang itu. Oleh sebab itu, dia memerlukan rehat yang panjang dan cukup.
Alhamdulillah, sekarang saya masih dalam proses rawatan dan pemulihan daripada penyakit radang tulang dan saraf yang dihidapi sudah lama, namun sakit teruk sampai tidak boleh berjalan selama tiga bulan.
Jadi, memang dah lama juga saya tak berlakon kerana faktor kesihatan diri. Tawaran berlakon masih ada diterima, tetapi saya terpaksa tolak saja semuanya kerana tidak mahu susahkan pekerja produksi.
Saya sekarang ini nak berjalan pun kaki dah tak kuat, itu yang perlukan kerusi roda untuk bantu bergerak. Apa lagi, memandu kereta memang dah tak boleh dah. Nanti kalau saya terima tawaran berlakon itu, dibimbangi menyusahkan dan menambah kerja orang lain pula.
Maka, saya buat keputusan biarlah sekarang ini saya merawat diri sampai betul-betul pulih dulu dan yakin rezeki Allah itu sentiasa ada.
Bercakap mengenai bantuan yang diterima, Mak Jah mengakui dia menerima wang bulanan RM500 daripada Rosyam Nor.
Rosyam mulanya menghubungi saya beberapa bulan lalu untuk bertanya khabar selepas mengetahui saya kurang sihat dan memang dah lama tidak berlakon. Beliau tanya saya, ada ‘job’ berlakon lagi tak? Sebab dah lama tidak ke lokasi.
Saya kata padanya, tawaran berlakon masih ada diterima lagi, cuma, saya tak dapat nak buat sebab tak sihat, kaki pun tak kuat untuk berjalan kerana sakit radang tulang dan radang saraf dihidapi.
Jadi, beliau kata nanti saya masukkan duit RM500 bulan-bulan untuk belanja. Saya okay kan saja apabila ada rezeki yang orang nak beri sebab memang dah lama pun tak berlakon. Tapi, saya mulanya ingat beliau mungkin bergurau.
Sumber: Harian Metro