Penyanyi Rayme Zainal, meluahkan rasa gembira dan terharu apabila kerjaya seninya mendapat liputan daripada pihak media sejak kebelakangan ini.
Artikel Berkaitan: Ikhwan Mahu Belajar & Cuba Bidang Baru, Nafi Merajuk Dengan Industri Radio
Gembira dan terharu
Menerusi temu bual secara eksklusif bersama OhBulan!, anak kelahiran Tanjung Malim, Perak ini berkata, mencipta nama di dalam industri seni bukanlah suatu proses yang mudah bahkan, ia memakan sedikit masa untuk dikenali ramai.
Saya rasa gembira dan terharu apabila mendapat liputan daripada pihak media berkaitan dengan aktiviti nyanyian saya sebagai penyanyi atau bakat baru.
Sememangnya tidak mudah untuk saya sebagai penyanyi independent mendapatkan liputan sebegini berbanding penyanyi-penyanyi yang dikenali atau di bawah label besar.
Disoal mengenai kelebihan yang ada pada diri, Rayme yang berusia 45 tahun, memberitahu dia boleh mencipta lagu sendiri walaupun tidak pandai bermain alat muzik.
Saya rasa ramai orang tak tahu yang saya boleh mencipta lagu sendiri walaupun saya memang tidak bermain instrument alat muzik dan juga mempunyai formal education di dalam bidang muzik.
Tambah Rayme, dia pernah mendapat permintaan untuk membuat lagu namun, terpaksa menolak permintaan tersebut.
Walaupun pernah mendapat permintaan untuk membuat lagu, saya terpaksa menolak kerana saya ingin fokus membuat album dan muzik saya sendiri terlebih dahulu. Biar saya berjaya terlebih dahulu.
Uji kemampuan diri
OhBulan! sempat bertanya kepada Rayme mengenai perasaannya apabila diberi peluang untuk mengadakan persembahan dengan nama-nama besar di dalam industri seni seperti Aina Abdul dan Ernie Zakri, baru-baru ini.
Membuat persembahan di konsert berskala besar dengan iringan musik orkestra adalah satu impian semua penyanyi dan sebagai artis baru, saya sangat bersyukur dan bertuah kerana mendapat peluang beraksi serta berkongsi pentas bersama penyanyi-penyanyi hebat seperti Aina Abdul, Ernie Zakri di Konsert Destiny of Music.
Ini adalah merupakan penampilan saya buat julung kali di sebuah konsert besar dan saya hanya ingin memberikan persembahan terbaik melalui lagu-lagu ciptaan saya sendiri seperti “ Andai” dan “Close To You”, dan sebuah lagu baru berbahasa Melayu berjudul “ Until I Found You”.
Tipulah jika saya cakap saya tak gementar dan risau juga bila sepentas dengan nama-nama besar seperti Aina dan Ernie. Jadi saya cuba membuat persediaan sebaiknya.
Alhamdulillah, saya sangat gembira dan berpuas hati kerana dapat menyampaikan persembahan sebaik mungkin dan akan terus berusaha memperbaiki mutu vokal dan persembahan saya di masa akan datang.
Rayme turut mengakui bahawa Konsert Destiny of Music itu merupakan platform yang berharga dan menguji kemampuan dirinya sebagai seorang penyanyi.
Pada pendapat saya, Konsert Destiny of Music adalah merupakan satu platform berharga yang sangat menguji kemampuan diri saya sebagai seorang penyanyi baru. Konsert ini juga sebagai tanda aras pencapaian peribadi diri saya sendiri yang saya ibaratkan sebagai “rezeki terpijak” kerana dipilih oleh penganjur yang percaya pada bakat saya.
Alhamdulillah, konsert ini telah membuka peluang dan rezeki pada saya untuk makin dikenali ramai disamping mempertengahkan muzik ciptaan saya sendiri serta bakat nyanyian saya.
Di akhir temu bual, Rayme sempat berkongsi mengenai harapannya untuk tahun ini. Ujar Rayme, dia mahu menyiapkan album sendiri dalam masa terdekat.
Harapan saya untuk tahun ini untuk menyiapkan album saya sendiri dan juga mempromosikan atau mempertengahkan lagi muzik saya melalui aktviti persembahan dan nyanyian sama ada di showcase atau konsert jika diberi rezeki dan peluang.
Selain dari itu, saya juga berharap agar diberi peluang oleh pihak stesen radio dan juga stesen TV memutarkan lagu-lagu saya atau menggalakkan “support local artis” tanpa mengira jumlah followers atau tular di media sosial kerana platform tersebut adalah platform yang dapat membantu penyanyi yang bergerak sendiri seperti saya.
Sekadar info, Rayme aktif menyanyi dan berkarya selepas dia menjuarai pertandingan nyanyian secara atas talian oleh Sajakiri Music pada tahun 2018 dan mengeluarkan single “ Tiada Lagi Esok” pada tahun 2020.
Di samping itu, Rayme pernah terlibat dalam sebuah program realiti iaitu All Together Now musim pertama. Sebaik sahaja program tersebut berakhir, Rayme terus aktif menyanyi dan mencipta lagu sehingga ke hari ini.