Malang tidak berbau! Itu lah ungkapan yang paling sesuai menggambarkan detik cemas yang dihadapi seorang pelajar apabila sebatang anak panah tiba-tiba tertusuk di bahagian mata kirinya dan menembusi sehingga ke telinga.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika pelajar lelaki ini bersama tiga rakannya menjalani latihan memanah di padang sekolah mereka.
Tertusuk bahagian mata kiri
Menerusi laporan Sinar Harian, mangsa yang juga merupakan pelajar tingkatan empat dikatakan terkena anak panah yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh salah seorang rakan perempuannya. Kesemua mereka pada ketika itu sedang membuat latihan memanah di bawah garaj berdekatan dengan padang sekolah berkenaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang sedang melakukan latihan pada jarak 70 meter itu secara tiba-tiba telah melintasi di hadapan rakannya yang sedang membuat latihan pemanahan badan pada target lima meter. Anak panah tersebut akhirnya terlepas dan tertusuk ke bahagian mata kiri mangsa.
Ketika atlet itu memegang pemanah secara tiba-tiba mangsa melintas di hadapannya, dalam usaha menurunkan pemanah, anak panah terlepas dan menuju ke arah kepala dan mengenai pada mata kiri mangsa menyebabkannya tembus sehingga ke telinga.
Tiada pemantauan guru
Susulan itu, Berita Harian turut melaporkan mangsa yang tercedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bagi mendapatkan rawatan serta menjalani pembedahan. Anak panah terbabit akhirnya berjaya dikeluarkan oleh doktor yang merawat.
Anak panah berjaya dikeluarkan, doktor mengesahkan anak panah itu tidak mengenai bahagian mata sebaliknya hanya terkena bahagian saraf sebelah mata kiri.
Tambah Adzli lagi, saksi turut mendakwa ketika kejadian berlaku pelajar-pelajar tersebut tidak dipantau oleh guru mahupun pihak sekolah. Mereka sebaliknya telah mengambil sendiri peralatan sukan memanah dari stor sekolah untuk menjalani latihan persediaan bagi mewakili daerah dalam pertandingan di peringkat Majlis Sukan Sekolah-sekolah Kedah (MSSK) pada 19 Februari ini.
Sumber: Sinar Harian, Bernama, Berita Harian