
Dahulu, akaun palsu mungkin dianggap sekadar gangguan kecil yang boleh diselesaikan dengan menekan butang block atau report. Namun, taktik yang digunakan hari ini semakin berbahaya.
Ada yang mencuri gambar dan identiti selebriti untuk menipu wang peminat. Ada juga yang bersembunyi di sebalik akaun anonim untuk menyebarkan tuduhan mengenai agama, rumah tangga, penampilan serta kehidupan peribadi seseorang.
Masalah ini bukan lagi terpencil. Meta dilaporkan telah memadam lebih 10 juta akaun Facebook yang menyamar sebagai selebriti, ahli politik dan pencipta kandungan pada 2025. Selain digunakan untuk penipuan, akaun sebegini turut mencuri dan memuat naik semula kandungan milik orang lain tanpa kebenaran.
Lebih membimbangkan, penjelasan daripada selebriti selalunya tidak mampu bergerak sepantas fitnah yang sudah tersebar.
Artikel Berkaitan: Amira Othman, Fattah Amin Tegas Tidak Tarik Laporan – ‘Kami Nak Tahu Siapa Musang Berjanggut’
Artikel Berkaitan: Warganet Gesa MCMC Jalankan Siasatan Segera, Nak Tahu Siapa ‘Musang Berjanggut’
Senarai selebriti diganggu akaun palsu
1. Amira Othman, Fattah Amin: Fitnah Berterusan Hingga Laporan Polis Dibuat
Penyanyi, Amira Othman dan suaminya, pelakon, Fattah Amin mengambil keputusan untuk tidak lagi berdiam diri selepas sebuah akaun media sosial dikenali sebagai ‘Musang Berjanggut’ didakwa berterusan menyebarkan fitnah serta kenyataan tidak elok mengenai mereka.
Menurut Amira, laporan polis yang dibuat tidak pernah ditarik balik. Pasangan tersebut turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, berurusan dengan pihak polis dan bertemu Menteri Komunikasi bagi mencari pemilik sebenar akaun terbabit.
Amira turut mengakui kandungan yang disebarkan boleh memberi kesan kepada mental dan emosi mangsa. Kes ini menunjukkan bagaimana akaun palsu bukan sekadar mencetuskan gosip, tetapi memaksa mangsa melalui proses aduan dan tindakan undang-undang yang panjang.

Sumber: Harian Metro
2. Mimi Lana: Mangsa Penipuan Datang Mengadu Hingga Dirinya Paranoid
Pelakon, Mimi Lana pernah memberi peringatan keras kepada orang ramai supaya tidak mudah mempercayai akaun media sosial yang menggunakan gambar selebriti dan kononnya mahu memberikan wang secara percuma.
Taktik yang digunakan termasuk memuat naik kod QR serta mengarahkan pengguna melakukan tindakan tertentu untuk menerima wang tunai. Menurut Mimi, tiada alasan munasabah untuk seseorang memberikan wang dengan begitu mudah kepada orang yang tidak dikenali.
Apa yang memberikan kesan kepadanya adalah apabila individu yang menjadi mangsa mula menghantar mesej untuk membuat aduan. Mimi menjelaskan bahawa dia tidak mampu mengawal akaun penipu berkenaan kerana akaun tersebut telah menyekatnya.
Isteri kepada aktor, Syafiq Kyle itu turut mengakui situasi tersebut membuatkannya berasa paranoid. Dalam keadaan ini, selebriti bukan sahaja menjadi mangsa kecurian identiti, malah terpaksa berdepan kebimbangan setiap kali mangsa baharu menghubunginya.
Masalah tersebut menjadi lebih rumit apabila orang ramai mengharapkan selebriti menyelesaikan kerugian yang sebenarnya berpunca daripada pihak ketiga.
3. Aaron Aziz: Wajah Digunakan Untuk ‘Love Scam’
Populariti dan imej dipercayai yang dimiliki Aaron Aziz telah disalahgunakan untuk memperdaya wanita menerusi kegiatan love scam. Menurut Aaron, wajahnya pernah dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan sehingga kelihatan seperti dia sedang melakukan panggilan video dengan mangsa.
Penipu dipercayai menyasarkan wanita yang kesunyian dan menggunakan identiti Aaron untuk membina kepercayaan. Ada mangsa yang sanggup memberikan wang, malah membuat pinjaman kerana percaya mereka benar-benar berkomunikasi dengan pelakon tersebut.
Aaron mendakwa pernah menjadi mangsa love scam sebanyak tiga kali. Dia juga pernah membuat laporan polis terhadap beberapa akaun Instagram yang didakwa menggunakan suara dan gambarnya untuk menjalankan penipuan.
Aaron turut berdepan ugutan serta hinaan daripada individu yang dipercayai menggunakan beberapa akaun palsu. Kesukaran mengesan lokasi dan identiti sebenar pemilik akaun akhirnya menyebabkan perkara itu dibawa kepada pihak polis.
Sumber: Harian Metro
4. Ezzanie Jasny: Gambar Keluarga Dicuri, Adik Diugut Hingga Keselamatan Terancam
Apa yang dialami pelakon, Ezzanie Jasny bukan lagi sekadar penyamaran biasa di media sosial. Beberapa akaun palsu didakwa menggunakan nama dan wajahnya, malah turut mengambil gambar peribadi ahli keluarganya tanpa kebenaran.
Akaun berkenaan kemudian menyebarkan kenyataan palsu mengenai status agama Ezzanie, menyertai sesi siaran langsung serta meninggalkan komen seolah-olah semuanya datang daripada pelakon tersebut.
Namun, keadaan menjadi jauh lebih membimbangkan apabila gangguan itu mula melibatkan keselamatan keluarganya. Menurut Ezzanie, mesej ugutan turut dihantar secara langsung kepada adik perempuannya. Dia menjelaskan bahawa pendedahan tersebut dibuat bukan untuk mencetuskan drama, tetapi bagi melindungi diri dan keluarganya daripada ancaman yang semakin serius.
Gangguan itu dilaporkan tidak berhenti di situ. Pada Januari 2026, Ezzanie turut berkongsi tangkap layar mesej berunsur ugutan bunuh daripada akaun palsu yang menggunakan nama serta gambarnya.
Individu sama juga didakwa memuat naik gambar dan ucapan takziah palsu terhadap ibu bapa Ezzanie, sedangkan kedua-duanya masih hidup. Ezzanie kemudian membuat laporan polis dan memaklumkan bahawa setiap gangguan baharu akan terus direkodkan serta diserahkan kepada pihak berkuasa.
Sumber: Berita Harian
5. Yusry: Akaun Palsu Hampir Sama Dengan Akaun Sebenar
Penyanyi dan pelakon, Datuk Yusry Abdul Halim pernah memberi amaran mengenai sebuah akaun palsu di Threads yang menggunakan nama, gambar profil dan kandungan yang dicuri daripada akaun sebenarnya.
Menurut Yusry, akaun tersebut kelihatan hampir sama apabila dilihat secara sepintas lalu. Pengguna perlu memeriksa ejaan nama akaun dengan teliti untuk menyedari bahawa ia bukan akaun rasmi miliknya.
Akaun tersebut dipercayai menawarkan ganjaran wang tunai dan menyertakan kod QR sebagai sebahagian daripada taktik memperdaya pengguna media sosial.
Kes ini menunjukkan penipu tidak lagi sekadar mengambil sekeping gambar. Mereka meniru keseluruhan identiti digital seseorang, termasuk cara profil disusun dan kandungan yang diterbitkan.

Sumber: Berita Harian








