berita

Betul Ke, Pendidikan Mempengaruhi Kehidupan? Masa Depan Negara Bergantung Kepadanya!

August 30th, 2023 | by Syamirul
Kini Trending

Macam yang kita tahu, pendidikan sememangnya sangat penting dalam pembangunan sesebuah negara.

Kalau korang nak tahu, kemajuan sesebuah negara tidak mampu dicapai sekiranya tiada para cerdik pandai ni. Dengan adanya golongan ini, maka segala pentadbiran dan pengurusan negara dapat dilaksanakan dengan baik dan secara tidak langsung mampu memartabatkan nama negara kita.

Apa yang kita boleh lihat, sekarang bilangan institusi pendidikan di negara kita semakin meningkat dan boleh dikatakan hampir seluruh negeri mempunyai institusi pendidikannya sendiri. Perkembangan yang sangat luar biasa ya!

Bukan nak cakap apalah, peningkatan dalam kualiti pendidikan sangat berkait rapat dengan pembangunan atau kemajuan sesebuah negara juga tau.

Sistem pendidikan Malaysia semakin cerah dengan adanya PPPM!

Korang tahu tak yang kita ada laporan tahunan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia? Apa tu? Mesti korang tertanya-tanya kan?

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM ) ini telah dilancarkan pada tahun 2013, sebagai penanda aras untuk mengukur pencapaian dalam sistem pendidikan negara.

Berdasarkan pada laporan tahunan 2022 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), ia telah merekodkan kejayaan yang cemerlang sejak pelaksanaanya selepas 10 tahun.

Pelan transformasi ini bertujuan untuk menangani isu kebolehcapaian, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan, menetapkan trajektori yang bercita-cita tinggi untuk sektor pendidikan kita.

Apa yang lebih menarik lagi, laporan tahunan 2022 PPPM ini juga telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor.

Betul ke PPPM ni beri impak yang besar pada sistem pendidikan negara? Korang rasa macam mana?

Ini kata mereka tentang kejayaan PPPM selepas 10 tahun pelaksanaanya!

Tujuan utama laporan tahunan ini dibuat, bukanlah semata-mata untuk meraikan pencapaian sahaja tapi memberi penerangan tentang cabaran yang dihadapi oleh KPM dalam melaksanakan transformasi pendidikan ini di Malaysia.

Bukan senang, nak senang!

“Selepas 10 tahun baru kita dapat menyaksikan peningkatan yang ketara” – Dr. Ahmad Rafee

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian, itulah ungkapan yang sesuai untuk diucapkan terhadap kejayaan PPPM ni.

“Daripada bermula di kedudukan sepertiga terbawah di peringkat antarabangsa, akhirnya selepas 10 tahun kita dapat menyaksikan peningkatan yang ketara sehingga kita kini berada di dalam kelompok pertengahan di peringkat antarabangsa.” Dr. Ahmad Rafee (Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Dasar dan Kurikulum)

Apa yang min boleh katakan, dari sini kita dapat melihat yang segala usaha yang dilakukan melalui pelbagai inisiatif telahpun membuahkan hasil. Apa-apa pun, kita tak boleh nak selesa sangat sebab masih banyak lagi cabaran yang kita bakal hadapi.

Untuk merealisasikan pelan yang berbaki kurang dari 2 tahun ini, pihak KPM dengan kerjasama pelbagai pihak sentiasa melakukan pemantauan yang berturusan supaya sistem pendidikan Malaysia sentiasa kekal berkualiti.

“Ada masalah? Macam mana nak selesaikan?” – Radzifuddin Nordin

Kalau korang nak tahu KPM juga bekerjasama dengan Education Performance and Delivery Unit (PADU) untuk menjayakan pelan PPPM ini.

“Peranan PADU ialah membuat perancangan dan cara perlaksanaan inisiatif serta bagaimana kita mahu memantaunya. Akhir sekali, jika ada sesuatu masalah, kita akan mencari cara untuk menyelesaikannya.” – Radzifuddin Nordin (Ketua Pegawai Eksekutif PADU)

Melalui laporan tahunan ini juga, kita dapat mengetahui tentang ‘lessons Learnt’ sejak sedekad pelaksanaan PPPM.

Hal ini kerana, setiap kejayaan, cabaran dan juga penglibatan pelbagai pihak dalam mentransformasikan pendidikan di Malaysia seperti komuniti, NGOs, pihak korporat yang menyumbang kepada kejayaan keseluruhan PPPM semuanya tercatat dalam laporan tahunan tersebut.

Dengan adanya laporan seperti ini, amatlah mudah bagi pihak berwajib memantau dan mencari jalan untuk memajukan lagi sistem pendidikan negara kita. Segalanya perlukan usaha!

“Kebanyakan subjek kini mempunyai topik-topik yang lebih menyeluruh” – Ishwaar Alagesan

“Melalui PPPM, kita dapat melihat yang kurikulum di sekolah kini semakin komprehensif dan lebih menyeluruh daripada biasa” – Ishwaar Alagesan (Alumni SMK Jalan Empat)

Pelaksanaan ini menjadi bukti kepada visi kolektif dan dedikasi PPPM dalam memacu transformasi pendidikan negara oleh KPM dengan para pemegang taruh pendidikan.

Laporan Tahunan 2022 dan Gallery Walk jelas menunjukkan bahawa walaupun terdapat pelbagai cabaran dan rintangan, hal yang demikian dapat diatasi dengan keazaman yang tinggi dan inovasi yang mampan.

Pelajar kita mampu!

Korang boleh tonton video ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing!

Melalui pencapaian ini, ia telah membuka jalan yang lebih cerah untuk masa depan sistem pendidikan di Malaysia serta mengukuhkan lagi legasi PPPM sebagai mercu tanda perubahan.

Tanpa ilmu pengetahuan yang seimbang, keupayaan untuk memajukan negara adalah sukar dan akan menjejaskan segala rancangan dan kemajuan yang telah dirancang untuk menjamin masa depan.

Apa yang min boleh katakan ialah, pendidikan merupakan asa kepada kemajuan sesebuah negara dan semua pihak harus memainkan peranan masing-masing dan bukan mengharapkan satu pihak sahaja.

PPPM kini telah mengorak langkah yang lebih berwawasan untuk negara bagi mengukuhkan lagi aksesibiliti dan kualiti, kesaksamaan, perpaduan serta kecekapan dalam sistem pendidikan kita.

Impak pelan pembangunan ini juga boleh dirasai dalam setiap aspek pendidikan merentas semua peringkat.

Untuk maklumat lanjut korang boleh klik SINI. Kejayaan PPPM milik kita bersama!

SKIP THIS AD ×