Setia hujung nyawa, itu lah ungkapan yang sangat sesuai menggambarkan situasi sepasang suami isteri warga emas yang sanggup bersusah payah bersama demi kelangsungan hidup mereka.
Seperti perkongsian seorang pengguna Facebook, Mohd Fadli Salleh yang menceritakan satu kisah sedih dan pengalamannya apabila berjumpa dengan sepasang suami isteri yang setia bersama walaupun diuji dengan pelbagai dugaan. Pengorbanan yang dilakukan si suami dengan menjaga isterinya yang sedang sakit amat meruntun hati.
Isteri sakit, suami kerja bawa teksi
“Pak cik, saya belikan telefon untuk mak cik. Nanti senang kalau ada emergency call sahaja saya. InsyaAllah saya akan datang segera.” “Ya Allah. Mulianya hati cikgu. Mah, cikgu belikan telefon untuk awak ni,” katanya sambil memandang isterinya yang stroke. Isteri Pak Cik Saman tak boleh bercakap. Tak boleh bangun akibat stroke. Terus mengelap air mata bila aku keluarkan telefon dan serah pada Pak Cik Saman.
Pak Cik Saman usianya dah 72 tahun. Ada pula penyakit jantung dan gout. Namun terpaksa bawa teksi demi sesuap nasi. Untuk bayar sewa rumah lagi, bayar bil api air lagi. Baru beberapa hari lepas, jirannya mesej aku. Katanya dia naik teksi Pak Cik Saman, tengah bawa teksi Pak Cik Saman sakit dada. Berhenti ditepi untuk telan ubat. Sebaik reda baru teruskan semula.
Aku dah hubungi rumah jagaan orang tua, mereka boleh terima. Lantas aku ajukan pada Pak Cik Saman tentang hal ini. Dia pandang isterinya lalu berkata, “Tak apa lah cikgu. Biarlah saya yang menjaga dia sampai akhir hayat saya. Khairat kematian di masjid itu saya dah bayar. Jika kami mati, masjid akan uruskan.” Dia tak sanggup nak berpisah dengan isteri kesayangan. Walau isterinya tidak lagi boleh bercakap, walau tidak boleh bergerak, dia setia dan sayang sangat-sangat.
Masuk rumah jagaan orang tua, tidak boleh tinggal bersama. Itu yang dia cuba elak. Dia tidak punya zuriat. Bila aku cerita aku punya anak lelaki empat, seronok dia bercerita anak angkat lelaki yang dia jaga dari baby hingga usia 6 tahun sebelum dilarikan ibunya warga Indonesia. “Mah, doakan cikgu dapat anak perempuan pula lepas ni. Doakan dia murah rezeki,” ujar Pak Cik Saman pada isterinya. Terus isteri Pak Cik Saman mengangkat tangan berdoa. Allahu, doa dari golongan sebegini sangat mahal harganya.
Risau kalau berlaku kecemasan
Tidak terbanding dengan segala hadiah, tidak ternilai dengan segunung emas. Doa yang dikirim dengan tulus ikhlas, dari mereka yang diuji oleh Tuhan. Aku dah hubungi pegawai zakat sebentar tadi. Mohon mereka mempertimbangkan kes ini. Sekurang-kurangnya dapat bantuan sewa rumah dah sangat-sangat membantu mereka.
Aku paling risau apa-apa berlaku kat isterinya sewaktu dia keluar bekerja. Jika ada kemalangan, jika ada kesakitan, jika ada sesuatu yang tidak elok dan memerlukan bantuan, bagaimana dia nak hadapi? Mulut tak boleh nak memanggil orang. Badan pula lumpuh tak boleh bergerak. Suami pula tiada disisi. Telefon pun tiada untuk hubungi sesiapa. Sebab itu aku putuskan, nak belikan dia telefon Nokia sahaja. Terus belikan simkad agar dia terus boleh guna. Aku cakap,
“Acik. Jika ada apa-apa kecemasan. Pak Cik Saman tak sedarkan diri ke apa, atau masa Pak Cik Saman keluar dan ada kecemasan, telefonlah saya. Walau Acik tak boleh bercakap, tapi sebaik saya terima panggilan dari Acik, tahulah saya ada benda tak kena. InsyaAllah saya akan datang segera.” Hanya setakat itu yang aku mampu bantu. Sekadar cuma memberi jalan jika ada kemalangan atau kecemasan. Sekurang-kurangnya aku tidak lagi bimbang untuk tinggalkan mereka berdua. Dan semoga mereka baik-baik saja. Amin. Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.
Sumbeer: Mohd Fadli Salleh