Dua tahun pandemik Covid-19 mengajar penyanyi terkenal Indonesia, Marcell Siahaan untuk belajar berkomunikasi dengan diri sendiri walaupun dalam hal kecil.
Tidak malu mengaku sebagai bapa
Ketika ditemui OhBulan!, Marcell menyatakan dia ingin ketiga anaknya bangga mengaku dirinya sebagai ayah.
Akui Marcell, 45, dia risau anak-anaknya berasa malu ketika ditanya tentang dirinya justeru ingin berikan contoh terbaik supaya mereka ingat hingga akhir hayat.
Banyak hal selama saya hidup, saya tak banggakan. Saya berharap anak-anak lelaki saya jadi seseorang yang mempunyai prinsip dan maruah.
Saya cuma ingin suatu saat bila saya sudah meninggal, lalu anak-anak saya ditanya siapa bapanya, mereka tidak malu menjawab nama saya.
Jangan sampai ditanya nanti siapa bapanya, mereka tukar topik. Wah kalau begitu, saya boleh bangkit semula dari kubur (seloroh).
Marcell berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman konsert Marcell Dua Dekade Live In Kuala Lumpur, pada Isnin.
Pesanan untuk anak sulung
Dalam pada itu, pelantun lagu Jangan Pernah Berubah menyatakan anak sulungnya, Keenan Avalokita Kirana, sudah mengikut jejak langkahnya sebagai anak seni.
Kata Marcell, dia menyokong minat anaknya itu dan banyak menurunkan ilmu dalam bidang muzik.
Saya katakan padanya, selagi masih ada fizikal, mental dan rohani yang kuat untuk bermain muzik, gali serta kuasainya. Bila sudah menguasainya, baru tenang menjalani niat yang lain.
Selama lebih 20 tahun berkarya, misalnya daripada 10 aspek, cuma empat yang berguna. Selebihnya, suka bertangguh, pandang remeh, sombong, tegakkan diri dari kemalasan.
Yang empat itu cuma ketahanan diri dan rasa bersyukur.
Ubati rindu
Bercerita mengenai Marcell Dua Dekade Live In Kuala Lumpur, penyanyi berumur 45 tahun itu ingin meraikan 20 tahun penglibatannya dalam industri di samping mengubati kerinduan dengan peminat di Malaysia.
Syukur kerana saya masih punya kesempatan kembali menyapa peminat di Malaysia.
Pandemik adalah satu tempoh yang sukar untuk kita semua, tetapi seperti single yang saya lahirkan dalam fasa ini, Menunggu, saya fikir penantian kita semua akan berakhir dengan terlaksananya Marcell Dua Dekade.
Konsert ini akan menjadi istimewa dan intim buat saya serta peminat semua setelah kita melalui ujian dan kesukaran dua tahun kebelakangan ini.
Konsert anjuran The Jay Events & Media itu akan berlangsung pada 9 Disember, jam 8.30 malam, di Zepp Kuala Lumpur.
Orang ramai boleh dapatkan tiket konsert tersebut dengan harga RM288 hingga RM7,888 yang sudah mula dijual menerusi www.myticketasia.com.