Seorang lelaki di Sabah dikatakan sanggup berjalan kaki dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk pulang ke kampung halaman yang terletak di Kota Marudu.
Menerusi akaun Facebook, Nazehah Shahvelizen memberitahu lelaki itu nekad dengan tindakannya kerana khuatir orang ramai akan terdedah dengan penularan wabak Covid-19 memandangkan dia baru sahaja pulang dari Jepun. Lebih mengejutkan apabila sepanjang perjalanannya itu dia telah ditemani seekor anjing misteri.
Perjalanan selama 3 hari
I’ am so proud of you abang, Alixson Awandoh. Bertemankan seekor anjing. Ini kisah tentang abang saya. Saya tidak tahu nak cakap apa dengan keadaan ini lebih-lebih lagi musim Covid-19 yang sedang melanda. Dia (abang) baru sahaja pulang dari Jepun iaitu pada 25 Mac 2020 yang lalu. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, abang terus ke hospital berdekatan iaitu di Hospital Queen Elizabeth 1 untuk membuat ujian saringan Covid-19.
Walaupun keputusan masa itu belum diketahui lagi dan abang dikatakan langsung tidak menunjukkam sebarang simptom Covid-19. Dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mementingkan diri sendiri. Oleh disebabkan itu, dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke kampung Kota Marudu. Ianya mengambil masa selama 2 jam 30 minit jika menaiki kenderaan.
Ditemani anjing ‘misteri’
Tetapi disebabkan wabak Covid-19 ini dia telah berjalan kaki sendiri ke kampung Kota Marudu bermula pada petang 26 Mac 2020 dan telah sampai ke kampung pada 28 Mac 2020. Awak semua boleh bayangkan tak betapa peritnya perjalanan itu sehingga dia ditemani oleh seekor anjing yang sangat setia.
Sepanjang perjalanan itu, abang ditemani anjing tersebut sehingga dia sampai ke kampung Kota Marudu. Orang-orang Sabah mesti tahu bagaimana jalan di sana, ada yang menyeramkan, ada yang sunyi dan macam-macam lagi. Lebih-lebih lagi waktu itu bateri telefon bimbit sudah mula berkurang. Dan setibanya di kampung, abang ini tidak boleh lagi bertemu dengan ibu bapa, anak-anak dan ahli keluarganya disebabkan keadaannya sekarang.
Menjadi anak perantauan
Oleh itu dia sendiri telah mengasingkan diri dan kuarantin di sebuah rumah kebun datuk. Sehingga sekarang, anjing tersebut masih menemani abang. Awak semua boleh bayangkan tak macam mana perasaan bila berjalan mengambil masa yang agak lama, kaki penat, sakit dan cramp. Hujan, panas, gelap, sejuk dan takut semua ada. Tapi tak tahulah abang ni macam mana. Perjalanan dan pengalaman hidup abang ni sangat banyak. Dia mula merantau sejak umur 18 tahun lagi. Dia bermula di Singapura, Indonesia, China, Qatar, Algeria, Jepun, Australia, Korea dan Brunei. Banyak lagi pengalaman abang ini sebenarnya tetapi yang tidak boleh dibayangkan dengan keadaan sekarang.
Jika berjalan di khalayak ramai okay lagi tidaklah takut sangat, sebab ada kenderaaan tapi perjalanan abang ni tak sama berjalan seperti hari-hari biasa. Dan sebelum tahu keputusan saringan Covid-19, dirinya masih lagi dalam perasaan takut akan keputusan ujian tersebut samada positif atau negatif. Satu je saya nak cakap, saya sangat berbangga dengan awak, abang. Seorang insan yang tidak mementingkan diri dan tak pernah putus asa. Keyakinan diri abang sangat mantap dan berani. Awesome!
Sumber: Nazehah Shahavelizen, Harian Metro