berita

Boleh Bawa Memori Buruk Buat Murid, Ini Antara Pandangan Orang Ramai Mengenai Isu Buli!

October 31st, 2023 | by Syakilla Marzuki
Kini Trending

Macam yang kita semua tahu, buli merupakan tingkah laku yang agresif dan berulang-ulang ke atas orang lain sama ada dari segi fizikal, mental atau emosi. Kesannya juga sangat besar khususnya buat anak-anak yang berada di sekolah.

Isu buli ini juga memerlukan perhatian dan kerjasama daripada pelbagai pihak dalam memikirkan punca, kaedah serta mencari jalan terbaik mencegah perkara tersebut daripada terus berleluasa.

Jadi, ini pandangan, cadangan dari orang ramai dalam menangani isu buli dalam kalangan anak-anak terutamanya murid di sekolah.

1. “Perlu banteras dalam peringkat yang lebih awal” – Hood Mohd Salleh

“Kena tegas dan perlu beritahu pada guru atau ibu bapa agar isu buli ini tidak berterusan. Jadi, perlu banteras dalam peringkat yang lebih awal.”

Encik Hood menegaskan kepada mangsa buli agar mereka membuat aduan terlebih dahulu, tidak kira pada ibu bapa mahupun guru.

Ini kerana masalah buli ini boleh ditangani dalam peringkat yang lebih awal lagi.

2. “Ibu bapa perlu pantau dan sentiasa bertanya keadaan anak” – Roslina Mohamed Nazri

“Masalah ni macam bermusim, kes buli ini semakin meningkat. Ibu bapa juga  perlu pantau dan sentiasa bertanya keadaan anak di sekolah dari semasa ke semasa.”

Masalah buli ini banyak juga berlaku di sekolah terutamanya di asrama-asrama yang ada di Malaysia ni.

Jadi, ibu bapa perlu peka dan pantau anak-anak sentiasa supaya mereka terhindar dari terjebak dengan masalah buli ini di sekolah.

3. “Banyak pengaruh sosial media dan sebagainya” – Muhamad Fadzli Rizman

“Isu buli ini amat membimbangkan lah, terutama sekali bagi kawasan-kawasan sekolah yang mempunyai penduduk yang agak padat. Tak boleh salahkan murid juga, ada sesetengah juga terpengaruh dari media sosial dan sebagainya.”

Kalau dulu kita boleh tengok dan terpengaruh daripada drama yang ditayangkan di televisyen sahaja, tapi sekarang pengaruh sosial media itu lebih kuat dan menyebabkan murid-murid ini terikut dengan buli membuli ini.

Selain itu, ada banyak lagi faktor dan jenis-jenis buli yang korang perlu tahu

Antara faktor buli ini juga adalah kerana latar belakang keluarga, pengaruh media sosial dan pelbagai lagi. Kejadian buli ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara, antaranya peras ugut, memulau antara kawan, kejadian fizikal melibatkan sentuhan badan, secara lisan dan bukan lisan, dan juga buli siber.

Untuk itu, kita perlu terapkan  nilai-nilai murni sejak dari rumah lagi dan seterusnya nilai-nilai tersebut akan diperkasakan oleh guru-guru di peringkat sekolah.

Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) amat prihatin dan memandang serius perkara tersebut

 

Melalui siaran langsung Wanita Hari Ini, pihak Pakar Perunding Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM juga tampil dengan isu buli ini.

Mereka juga menegaskan bahawa kita perlu memastikan semua pihak perlu jalankan tanggungjawab bersama bukan ibu bapa sahaja, malah dalam kalangan komuniti serta pihak kerajaan.

Pihak KPM amat prihatin dan memandang serius mengenai buli di sekolah dan mereka membuat inisiatif dengan memperkenalkan Konsep Karamiah Insaniah.

Ini adalah salah satu teras utama yang menekankan pembentukan adab, akhlak dan integriti bagi mewujudkan suasana harmoni yang akan menghindari gejala negatif amat memerlukan suatu pendekatan holistik yang perlu ditekankan agar diberikan perhatian dalam sistem pendidikan negara.

KPM keluarkan Buku Panduan Pengurusan untuk menangani buli di sekolah

Bagi isu buli di peringkat sekolah, sebenarnya KPM telah pun mengeluarkan Buku Panduan Pengurusan
Menangani Buli di Sekolah sebagai panduan kepada pihak sekolah.

Malah pihak KPM juga sentiasa mengkaji peraturan-peraturan pendidikan mengikut keperluan sekolah serta
mencari pendekatan baharu bagi menambah baik sistem atau peraturan sedia ada.

Antaranya, Program Kempen Anti Buli telah dirancang dan dilaksanakan mengikut keperluan sekolah untuk mengelakkan suasana tidak selamat di sekolah. Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling juga menjalankan pendekatan yang menyeluruh dalam menangani perbuatan buli.

Selain itu, banyak lagi program seperti Mentor Mentee, Program Pembangunan Sahsiah Diri Murid (PPSDM) dan Bengkel Literasi kepada Pengetua Guru Besar (PGB), pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri (JPN) yang dijalankan untuk membendung gejala buli ini.

Jadi, perkara seperti ini memang dititikberatkan oleh pihak KPM agar seluruh warga di sekolah terjaga dan selamat dari masalah buli ini.

KPM juga mewujudkan portal aduan buli bagi semua mangsa buli yang terlibat

Portal ini merupakan portal khas di mana mangsa-mangsa buli boleh membuat aduan mereka terus kepada KPM. Portal ini juga bertujuan untuk menyalurkan maklumat kepada masyarakat berkaitan langkah-langkah menangani isu buli di sekolah.

Jadi, platform ini perlu digunakan dengan tepat dan betul terutamanya untuk melaporkan kes buli yang melibatkan murid sekolah dari terus menyebarkan kes buli melalui media massa atau laman sosial tanpa ada tindakan yang sewajarnya daripada pihak yang sepatutnya.

Melalui saluran aduan yang betul semua tindakan dapat diambil mengikut peraturan yang sedia ada. Masyarakat juga jangan merasa ragu-ragu atau bimbang  untuk membuat aduan kerana semua aduan yang diterima oleh KPM adalah rahsia.

Ada talian khas melalui 3 saluran yang boleh digunakan

KPM turut menyediakan tiga 3 saluran yang boleh digunakan oleh orang ramai termasuk pihak sekolah dan juga ibu bapa untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes buli yang berlaku. Antara saluran tersebut ialah melalui talian khas aduan buli, e-mel: [email protected] atau melalui aduan SISPAA KPM yang sedia ada.

Hentikan masalah buli dan buat tindakan segera kalau korang terlibat dalam kejadian ni!

KPM amat prihatin terhadap setiap aduan yang diterima dan tindakan segera akan diambil mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan. Selain itu, peti aduan murid turut disediakan bagi memudahkan murid membuat aduan sekiranya berlaku kejadian buli di sekolah dan di asrama. 

Jadi, jom hentikan masalah buli di sekolah dengan segera dan ambil pendekatan yang lebih serius mengenai isu ini supaya anak-anak atau korang sendiri dijauhi dengan masalah buli.

Layari laman sesawang INI kalau korang nak tahu lebih lanjut atau pun nak membuat sebarang aduan mengenai kes buli ini.

SKIP THIS AD ×