berita

Boleh Ke Orang Islam Makan Di Restoran ‘No Pork No Lard?’ Ini Jawapannya!

September 22nd, 2023 | by Shahira
Kini Trending

Sekadar gambar hiasan

Penyediaan makanan halal dan bersih merupakan antara aspek yang perlu dititikberatkan oleh Islam terutamanya bagi mementingkan soal kesucian. Bukan hanya penyediaan makanan, tetapi status bahan yang digunakan juga perlu diambil kira.

‘No Pork No Lard’

Sekadar gambar hiasan

Baru-baru ini, seorang individu ada menyuarakan pertanyaan kepada Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berhubung hukum orang Islam yang menjamu selera di restoran bukan Muslim yang tidak mempunyai sijil halal. Sebaliknya restoran terbabit hanya memaparkan di hadapan restoran/premis mereka, ‘No Pork No Lard.’

Menjawab pertanyaan tersebut, Dr. Zulkifli menjelaskan ‘No Pork No Lard’ bermaksud premis/restoran tersebut tidak menghidangkan daging atau lemak babi. Secara umumnya, daging yang dihidangkan adalah berasaskan makanan laut, daging lembu, ayam, dan daging-daging yang diproses.

Meskipun premis milik bukan Islam itu tidak menghidangkan daging atau lemak babi tetapi itu tidak bermaksud makanan yang disediakan di restoran tersebut dijamin 100% halal. Hal ini kerana, sebagai orang Islam, kita perlu mengetahui bahan masakan digunakan seperti ayam, daging, bahan-bahan masakan dan seumpamanya adalah halal termasuk kaedah penyembelihan atau alat-alat perkakas memasak juga adalah bersih dan tidak bernajis.

Orang Islam tidak boleh dan haram memakan makanan (terutamanya yang berasaskan daging) daripada memakan di restoran/premis bukan Islam yang hanya mendakwa ‘No Pork No Lard’, sehinggalah diyakini bahawa makanan tersebut halal dan tidak mengandungi bahan-bahan bernajis, yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti wain, arak, dan seumpamanya.

Imam al-Nawawi ada menyatakan bahawa jika timbul suatu syak atau keraguan pada sembelihan yang menghalalkan haiwan itu, maka ia tidak halal untuk dimakan kerana hukum asalnya adalah haram dan perkara ini tidak ada khilaf padanya.

Selain itu, perbuatan meninggalkan daripada memakan di restoran yang tidak dapat dipastikan kehalalannya juga bertepatan dengan saranan agama untuk meninggalkan dan menjauhi perkara-perkara syubhah.

Sumber: Maktabahalbakri

SKIP THIS AD ×