Primadona terkenal era 80-an, Noor Kumalasari mengakui terkejut apabila menerima jemputan menjadi wajah ilham atau ‘muse’ serta tampil di pentas catwalk bagi majlis pelancaran tudung Nafesa dan koleksi The Alhambra Monogram.

Artikel Berkaitan: ‘Harapan Untuk Bawa Pulang Kak Nita Jayakan Konsert KRU Sangat Tipis’ – Noor Kumalasari

Artikel Berkaitan: ‘Anita Sarawak Sudah Tinggalkan Dunia Seni, Dia Mahu Hidup Sebagai Orang Biasa’ – Noor Kumalasari

‘Boleh ke catwalk?’

Noor, 69, berkata, dia terbuka hati untuk merima tawaran tersebut apabila mengetahui projek Nafesa adalah dedikasi kepada ibu pengasas Nafesa iaitu Said Saiful Fazli Said Aluwi.

Apabila menerima panggilan daripada wakil Said, saya tertanya-tanya, ‘Eh betul ke nak jemput saya, model pula itu? Boleh ke umur dah 69 tahun catwalk?’.

Saya ambil itu sebagai cabaran dan sangat teruja apabila dijemput. Sebab ramai lagi selebriti muda di luar sana, sedangkan saya sudah berusia sedikit.

Said dan ibunya sendiri yang mahukan saya. Saya rasa amat berbesar hati dengan jemputan itu.

Apabila tahu Nafesa adalah projek dedikasi kepada ibu Tuan Said, saya sangat berbangga dengan Said. Selagi ibu kita masih ada, buatlah sebanyak pahala dan tabur jasa kepadanya. Ini juga satu bentuk dakwah dilakukan Said.

Noor berkata demikikan ketika ditemui pada majlis pelancaran Nafesa dan koleksi The Alhambra Monogram yang berlangsung di sekitar ibu kota, baru-baru ini.

Pasang lagu Noor Kumalasari

Dalam pada itu, Said mendedahkan ketika perbincangan memilih Noor sebagai muse, pasukannya mengetahui primadona itu sudah bersara. Namun, mereka tetap berusaha sehingga berjaya menghubunginya.

Ketika berbincang tentang siapa yang sesuai dilantik sebagai muse dan nama Noor Kumalasari disebut, dalam hati saya terdetik mesti dia tidak mahu, sebab tahu kak Noor sudah bersara.

Tetapi pasukan kami tetap berusaha sehingga berjaya menghubungi dua tiga pihak untuk mendapatkan kak Noor. Saya menjerit di pejabat apabila kak Noor setuju menjadi muse kami.

Terus pasang lagu-lagu kak Noor di pejabat untuk ambil mood. Kak Noor juga lambang keibuan, bukan senang nak dapat dia. Saya tidak membesar pada zaman kak Noor, tapi saya tahu dia seorang yang sangat berbakat dan hebat.

Sementara itu, Pengarah Saudagaar Asia Sdn Bhd yang juga Pakar Pembangunan Perniagaan Profesional, Datuk Zafrol Rizal Mat, menekankan pemilihan Noor adalah tepat sebagai simbolik menyatukan warisan, keanggunan dan inspirasi wanita moden.

Noor sangat ‘bold’. Kami cuba melamar dia sebagai muse untuk pelancaran kali ini kerana merasakan selebriti biasa tidak memberi impak.

Jarang nampak dia muncul di mana-mana acara. Bila Noor setuju, kami terus merancang majlis pelancaran ini dalam tempoh kurang seminggu.

Saya ada juga berbual dengan Noor, betulkah benar-benar tidak mahu bekerja lagi? Kalau masih mahu bekerja, Nafesa ingin meminang Noor untuk menjadi duta.

Koleksi The Alhambra Monogram

Nafesa dilancarkan secara rasmi sebagai jenama yang lahir daripada kasih seorang ibu. Nama Nafesa diinspirasikan daripada nama ibu Said, Naveesof, melambangkan kelembutan, ketabahan dan nilai seorang wanita yang berharga.

Segalanya bermula di Arafah, ketika doa, rintihan jiwa dan ingatan terhadap kasih ibu membawa kepada satu ilham suci.

Koleksi The Alhambra Monogram diinspirasikan daripada seni bina Istana Alhambra di Granada, simbol kehalusan seni Islam, kemewahan dan kekuatan tamadun.

Setiap corak menyampaikan mesej wanita yang anggun, yakin dan mampu mencipta rezeki melalui kecantikan. Koleksi ini menggunakan fabrik premium satin yang lembut, ringan, tidak jarang, mudah dibentuk dan selesa dipakai.

Selain itu, produk Nafesa menampilkan kelebihan material premium dan tidak panas, cetakan halus dan tahan lama, warna sesuai wanita Asia.