Kain kafan berwarna putih menjadi simbol utama dalam pengurusan jenazah umat Islam dan hampir tidak pernah dipersoalkan penggunaannya.

Artikel Berkaitan: Haliza Maysuri Perjelas Isu Kain Kafan – ‘Hasil Jualan Disalurkan Untuk Sumbangan, Jadi Saya Mahu Membantu’

Artikel Berkaitan: Mohd Izhar Kongsi Pandangan Beli Set Kain Kafan Mahal – ‘Ikut Situasi, Kalau Tujuan Riak Hukumnya Haram’

Bukan wajib

Setiap kali berlaku kematian, kita sudah terbiasa melihat tubuh jenazah dibalut dengan kain putih sebelum dimasukkan ke dalam liang lahad, seolah-olah itulah satu-satunya warna yang dibenarkan dalam urusan pengebumian.

Adakah wajib kain kafan mayat itu berwarna putih?

Persoalan ini jarang dibincangkan, namun ianya penting difahami kerana berkait rapat dengan kefahaman sebenar terhadap sunnah, hukum fiqh, dan tujuan amalan pengkafanan jenazah itu sendiri.

Untuk merungkai kekeliruan ini, penjelasan yang dikongsikan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, memberi pencerahan bahawa dalam hukum Islam, penggunaan kain kafan berwarna putih bukanlah satu kewajipan.

Dalam konteks sunnah, Imam As-Syairazi menekankan bahawa penggunaan kain kafan putih adalah amalan yang disunatkan namun penggunaan warna selain warna putih tidak menjejaskan kesempurnaan pengurusan jenazah dan tetap sah di sisi syarak.

Yang disunatkan bahawa adalah kain kafan itu berwarna putih kerana hadith yang telah meriwayatkannya oleh Ibnu Abbas R.A.

Sungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda, pakailah kamu sekalian dari pakaian kamu yang berwarna putih kerana sungguhnya ia daripada sebaik-baik pakaian kamu dan kamu kafankanlah di dalamnya mayat-mayat kamu.

Menurut penjelasan tersebut, sekiranya kain putih tidak tersedia, penggunaan kain daripada warna lain adalah dibenarkan, asalkan kain itu sesuai dan layak dipakai oleh si mati semasa hayatnya.

Namun, dalam situasi di mana kain putih sebenarnya ada tetapi sengaja tidak digunakan dan digantikan dengan warna lain, perbuatan tersebut dianggap makruh menurut pandangan majoriti ulama.

Sebahagian kecil ahli fiqh pula berpendapat bahawa tindakan tersebut masih berada dalam lingkungan keharusan.

Melalui pemahaman ini, jelaslah bahawa matlamat utama pengkafanan adalah untuk memuliakan jenazah serta menunaikan sunnah, manakala pemilihan warna kain hanyalah perkara sunat dan bukannya satu ketetapan yang wajib.

Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus