Live Nation Malaysia mengetengahkan peningkatan pesat Kuala Lumpur sebagai antara destinasi utama Asia bagi jelajah muzik antarabangsa menerusi pelancaran KL Headline Season 2026.

Artikel Berkaitan: Tiket Konsert ‘BTS World Tour Arirang’ Di KL Mula Dijual 3 Jun, Harga Serendah RM338

Pelancongan Melalui Live Events

Dibangunkan dengan kerjasama PR Worldwide, Tourism Malaysia dan CelcomDigi, inisiatif berkenaan menjadi usaha strategik untuk membawa lebih banyak hiburan langsung bertaraf dunia ke ibu negara sekali gus memperkukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab acara hiburan utama rantau ini.

Dianjurkan oleh Live Nation Malaysia, Kuala Lumpur dijadual menjadi tuan rumah kepada 25 persembahan muzik antarabangsa sepanjang tahun 2026 di enam lokasi utama dengan anggaran kehadiran lebih 500,000 peminat dari Malaysia dan negara serantau.

Sebagai antara barisan persembahan antarabangsa paling padat pernah dianjurkan di Kuala Lumpur setakat ini, KL Headline Season bakal menampilkan artis popular dunia seperti LANY dan Laufey selain nama besar lain termasuk Bryan Adams, DAY6, TREASURE dan Daniel Caesar.

Malah, persembahan berskala stadium oleh Post Malone, The Weeknd dan BTS turut dijadualkan berlangsung, sekali gus mencerminkan kemampuan Kuala Lumpur untuk menganjurkan produksi jelajah antarabangsa berskala besar.

KL Headline Season juga selari dengan aspirasi ekonomi negara menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menyasarkan kehadiran 47 juta pelancong antarabangsa sambil meningkatkan hasil sektor pelancongan menerusi pengalaman premium berasaskan acara dan hiburan.

Ketika trend perjalanan global kini semakin tertumpu kepada acara dan pengalaman eksklusif, hiburan langsung dilihat memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pilihan destinasi pelancong.

Konsert bukan lagi sekadar acara hiburan semata-mata, malah menjadi pemangkin ekonomi yang mampu menarik peminat merentas sempadan, memanjangkan tempoh penginapan serta menggalakkan perbelanjaan dalam sektor pelancongan tempatan.

Melalui KL Headline Season, pengalaman peminat tidak hanya tertumpu di venue konsert, sebaliknya diperluaskan kepada pengalaman gaya hidup dan budaya yang lebih menyeluruh.

Dengan kerjasama rakan strategik dalam sektor pelancongan, hospitaliti dan gaya hidup, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai pengalaman menarik yang menampilkan keunikan Malaysia termasuk makanan tempatan, tarikan ikonik serta suasana urban Kuala Lumpur yang dinamik.

Jana sektor ekonomi

Selain penjualan tiket, pelaksanaan acara ini dijangka memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai sektor termasuk hotel, syarikat penerbangan, peruncitan serta industri makanan dan minuman, di samping membuka lebih banyak peluang kepada komuniti dan perniagaan tempatan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, Tahun Melawat Malaysia 2026 memberi fokus kepada usaha mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan bernilai tinggi dan hiburan langsung memainkan peranan besar dalam mencapai sasaran tersebut.

Konsert dan acara berskala besar bukan sahaja menarik pelancong antarabangsa, malah turut menyumbang kepada keseluruhan ekosistem pelancongan daripada sektor hospitaliti hinggalah perniagaan tempatan.

Kuala Lumpur berada dalam kedudukan terbaik untuk menyokong pertumbuhan ini dan kami mengalu-alukan kerjasama berterusan bersama rakan industri termasuk Live Nation bagi memperluaskan penawaran acara hiburan langsung negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal berkata, muzik langsung merupakan medium yang menyatukan artis dan peminat menerusi pengalaman yang sukar dilupakan.

Di Live Nation, kami memberi fokus untuk mencipta lebih banyak momen seperti ini dengan membawa artis global lebih dekat kepada peminat di Malaysia dan seluruh rantau ini.

Melalui KL Headline Season, kami sedang membina rentak persembahan langsung yang konsisten untuk dinantikan dan dirancang oleh peminat.

Dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi utama lebih banyak konsert dan pengalaman hiburan, kami mewujudkan momentum lebih kukuh untuk artis, peminat dan keseluruhan ekosistem pelancongan, sekali gus membantu menjadikan bandar raya ini sebagai hentian tetap dalam jelajah Asia.

Antara acara yang bakal berlangsung sepanjang baki tahun 2026 termasuk persembahan BUS di Zepp Kuala Lumpur pada 19 Mei, Vir Das di Plenary Hall KL Convention Centre pada 23 Mei serta Daniel Caesar di Idea Live Arena bermula 24 hingga 26 Mei.

Selain itu, Anson Seabra dijadual membuat persembahan di Zepp Kuala Lumpur pada 31 Mei diikuti Laufey di Unifi Arena pada 2 Jun dan Kodaline di Idea Live Arena pada 26 Ogos.

Konsert berskala besar lain pula menyaksikan Post Malone bakal menggegarkan TM Stadium Nasional pada 27 September, LANY di Unifi Arena pada 1 November serta The Weeknd pada 4 dan 5 November.

Kemuncak KL Headline Season 2026 pastinya dua konsert mega BTS yang dijadual berlangsung di TM Stadium Nasional pada 12 dan 13 Disember 2026.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, orang ramai boleh melayari laman rasmi Live Nation Malaysia.