berita

Buat Pencari Kerja & Suri Rumah, Jom Ke Karnival Kerjaya MYFutureJobs & SKSSR Di Perak!

February 21st, 2023 | by Aimi Raihana Mudzakir
Shout Out!

Cari kerja bukan sesuatu yang mudah. Tapi tak mustahil kalau berusaha. Walau banyak persaingan hebat di luar, semangat untuk mencari kerja yang sesuai dengan kelayakan itu penting. Asalkan korang minat pun dah memadai.

Adakah korang salah seorang graduan baru? Mungkin korang masih mencari kerja tapi masih belum dapat sehingga sekarang. Kalau korang merupakan seorang suri rumah, kami yakin korang akan gembira dengan berita dari PERKESO ni.

PERKESO anjurkan Karnival Kerjaya MYFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) 2023

Sebelum ni PERKESO telah pun mengadakan Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) & Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis tersebut dengan jayanya pada waktu itu.

Usaha ini dibuat bagi melindungi golongan suri rumah dan membantu rakyat tempatan mendapat pekerjaan. Paling mengejutkan, ia mendapat sambutan baik orang ramai terutamanya pencari kerja dan suri rumah di seluruh Malaysia.

SKSSR bantu golongan suri rumah, hampir 300 yang mendaftar

Ada di antara korang yang dah pergi majlis pelancaran tu? Korang mesti dah berinteraksi secara terus dengan PERKESO kat sana dan lebih faham apa itu SKSSR. Sewaktu karnival itu, hampir 300 orang pengunjung wanita telahpun mendaftar dengan skim tersebut tau.

Buat korang yang masih belum tahu tentang SKSSR, meh kami bagitahu. Sebenarnya skim ni mula dilaksanakan pada 1 Disember 2022. SKSSR menawarkan faedah-faedah di bawah Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan, antaranya seperti:

  • Faedah Perubatan
  • Faedah Hilang Upaya Kekal
  • Elaun Keuzuran
  • Faedah Pengurusan Mayat
  • Pencen Penakat

Skim perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) ini terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemaustatin tetap yang berusia kurang 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin ataupun bujang.

Para suami dan pihak ketiga seperti badan-badan NGO atau syarikat swasta juga digalakkan menaja caruman bagi pihak suri rumah. Kesedaran suami tu penting, baru la isteri yang merupakan suri hidup korang terasa dihargai.

Tadi buat suri rumah. Macam mana pula dengan pencari kerja? Semestinya korang digalakkan untuk datang ke Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023. Ini peluang terbaik untuk korang dapatkan kerja yang korang nak!

Jom datang ke Karnival Kerjaya MYFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023, kali ni di Perak!

Buat korang yang tak sempat datang ke Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah &  Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, jangan risau. Kami ada berita baik buat warga Perak!

Karnival Kerjaya MYFutureJobs & Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 2023 akan dianjurkan  PERKESO pada 25 dan 26 Februari ini dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah Perak.

Lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor menanti korang. Malah semua wanita warganegara Malaysia dan pemastautin tetap berumur 55 tahun ke bawah juga berpeluang mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah untuk dilindungi.

Pencari kerja boleh daftar sekarang di www.myfuturejobs.gov.my/careerfair sebelum pergi ke Karnival itu. Tunggu apa lagi? Jom daftar!

SKIP THIS AD ×