berita

‘Budaya Majlis Graduasi Anak Disambut Mewah, Tak Semua Ibu Bapa Mampu Bayar’

October 18th, 2019 | by Shahira
Kini Trending

Sejak kebelakangan ini, sudah menjadi satu trend apabila pihak sekolah melangsungkan majlis graduasi atau majlis tamat belajar bagi kanak-kanak tadika dan pra sekolah. Walau bagaimanapun, majlis tersebut bukanlah percuma kerana ibu bapa kebiasaannya diminta untuk membayar sejumlah bayaran untuk menampung kos pakaian serta pakej fotografi.

Seperti perkongsian seorang pengguna Facebook, Liyana Nazli yang juga merupakan seorang ibu meluahkan pendapatnya mengenai majlis graduasi yang disambut secara mewah dan berlebih-lebihan. Menurutnya, tidak semua ibu bapa mampu untuk membayar kos yang diperlukan oleh pihak sekolah semata-mata untuk menjayakan majlis graduasi yang serba mewah itu.

Majlis dibuat secara mewah

sekadar gambar hiasan

Baru dapat jemputan ke Majlis Graduasi Maryam yang sudah tamat prasekolah hujung tahun ini. Melihatkan jumlah bayaran yang perlu dibayar untuk majlis graduasi selama beberapa jam itu, urut dada lah juga ibu dan ayah.

Jumlah bayaran majlis graduasinya kurang sedikit daripada jumlah yang kami bayar untuk yuran bulanan! Aduh. Manakan tidak, majlis dibuat di hotel besar. Makanan yang dijamu paling tidak perlu ditempah dengan pihak hotel. Pasti bukan murah harganya berbanding jika hanya menempah nasi bungkus.

Itu belum kira menyediakan pakaian anak untuk persembahan. Perlu pakai baju lengan panjang putih, skirt panjang hitam. Terpaksalah pergi beli sebab Maryam tak ada pakaian yang disebutkan. Kalau tidak nanti tak seragam pula.

Hampir RM300 kos menamatkan persekolahan

sekadar gambar hiasan

Majlis graduasi tahun lepas perlu pakai baju hitam dan berseluar hitam. Melilau juga ibu mencarinya. Ditambah pula dengan bayaran fotografi ala-ala studio professional. Tolak tambah hampir RM300 juga kos menamatkan prasekolahnya.

Cikgunya tulis kehadiran adalah wajib. Tambah pula pelajar kelas 6 tahun yang mahu bergraduasi. Jadi, ibu bapa ada pilihankah? Tambah anak dah bertungkus-lumus berlatih buat persembahan berminggu-minggu sebelum majlis. Alangkah kecewa kalau ibu beritahu kita tak dapat hadir kerana ibu ayah tak mampu bayar kehadiran ke majlis tersebut.

Majlis hanya di tanah lapang

Teringat majlis graduasi tadika sendiri dahulu. Emak Abah hantar kami adik beradik ke tadika KEMAS, yurannya seingat saya hanya RM15 sahaja sebulan. Majlis graduasi? Hanya di tanah lapang di belakang kedai runcit berdekatan sekolah. Ada sebuah pentas kecil tempat membuat persembahan.

Saya jadi solo kumpulan nasyid dan persembahan ‘read aloud’. Tiada lampu limpah, tiada hiasan mahal, apatah lagi berpenghawa dingin. Mak, ayah, datuk, nenek, adik-beradik semua boleh datang duduk di atas lapangan semacam berkelah. Tiada bayaran lebih dikenakan pastinya. Seronoknya seingat saya, tetaplah sama.

Entah dari manalah datangnya budaya majlis graduasi bermewah-mewah seperti ini. Mungkin sejak wujudnya trend tadika swasta berjenama. Masing-masing bertanding mahu tunjuk majlis siap yang lebih gah.

Mangsanya siapa? Ibu bapa yang membayar segala kosnya. Dan kos-kos ini tidak disebutkan dengan jelas semasa mendaftar. Not on paper.

‘It will not stop here’

sekadar gambar hiasan

Tahu-tahu tiba masa dikirim surat minta bayaran. Kalau tak bayar serba salah juga dibuatnya. Mungkin pihak sekolah fikir ibu bapa yang menghantar anak ke prasekolah swasta ini mampu belaka agaknya. Tapi tak kurang yang bercatu belanjanya hanya semata-mata mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anak.

It will not stop here. Budaya berlebih-lebihan ini akan terus menjalar. Semakin lama semakin tinggi biayanya. Hanya untuk memuaskan hati orang dewasa yang semakin materialis. Sedangkan nilai yang anak-anak belajar daripada penganjuran majlis seumpama ini hanyalah sedikit.

Cuba perhatikan satu-satu wajah comel yang membuat persembahan di atas pentas itu nanti. Tersenyumkah semuanya? Atau ada yang masam mencuka bimbang terlupa skrip atau langkah tarian.

Sumber: Liyana Nazli

SKIP THIS AD ×