Anggota kumpulan X Factor, Danny mengakui hasrat untuk membuat kemunculan semula sudah lama terpendam, namun mereka sebelum ini masih ragu-ragu terhadap penerimaan peminat sekiranya kumpulan boy band itu kembali mewarnai industri muzik tanah air.

Artikel Berkaitan: X Factor Tidak Pernah Bubar, Kini Bersatu Dengan Jiwa Lebih Matang

Artikel Berkaitan: ‘Kalau Tak Suka, Tak Payah Tengok’ – Abby Abadi Tegur Netizen ‘Bitter’ Tengok Lakonan Bersama Zack X Factor

Tidak mudah untuk kumpulkan semua anggota

Ketika ditemui OhBulan!, Danny, 46, berkata keyakinannya untuk kembali aktif dalam industri muzik mula timbul selepas melihat sambutan luar biasa terhadap konsert kumpulan Elite, selain nama X-Factor kembali menjadi bualan hangat di TikTok.

Sebenarnya keinginan untuk membuat kemunculan semula (Comeback) memang ada, cuma kami tidak tahu bagaimana penerimaan peminat.

Tetapi selepas melihat sambutan yang sangat baik pada konsert Elite sehingga X Factor menjadi sohor di TikTok, keyakinan itu mula timbul.

Tambah Danny, usaha dalam menyatukan semula kesemua anggota X Factor bukanlah sesuatu yang mudah apabila dia mengambil masa hampir dua minggu untuk menghubungi setiap ahli kumpulan.

Bagaimanapun, kesemua anggota kumpulan itu menyambut baik cadangan tersebut dan menunjukkan keterujaan sebaik dimaklumkan mengenai perancangan untuk kembali bersatu sempena Konsert Elite.

Bukan mudah untuk mengumpulkan semula kami berlima.

Selepas dua minggu barulah saya berjaya menghubungi kesemua anggota.

Apabila saya beritahu mengenai perancangan untuk menyatukan semula kami bagi Konsert Elite, semuanya excited.

Yang paling tidak kami sangka adalah sokongan luar biasa daripada peminat.

Sambutan baik itulah yang menyuntik semangat untuk kami membuat kemunculan semula dan memperkenalkan lagu baharu.

Danny berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media X Factor, pra pelancaran single Walu Walu di Urbanhive, Putrajaya.

Dapat undian tertinggi

Sementara itu, Jim, 44, berkongsi bahawa kesemua anggota kumpulannya telah menilai beberapa buah lagu sebelum memilih ‘Walu Walu’ sebagai single kemunculan semula mereka, dan lagu tersebut menerima undian tertinggi dalam kalangan mereka.

Sebenarnya ada beberapa lagu yang kami dengar dan nilai bersama.

Akhirnya, Walu Walu mendapat undian tertinggi kerana liriknya sangat dekat dengan perjalanan X Factor sendiri.

Lagu ini menceritakan mengenai kepulangan X Factor.

Sebab itu, pada permulaan lagu terdapat elemen radio dan petikan lagu-lagu lama kami sebagai simbol mengimbau perjalanan yang pernah dilalui.

Dalam pada itu, dia turut menjelaskan bahawa mereka cuba mencari keseimbangan antara elemen nostalgia dan cita rasa pendengar masa kini agar lagu tersebut dapat diterima oleh peminat lama serta generasi baharu termasuk Gen Z.

Kami cuba mencari titik tengah.

Kami tidak mahu terlalu bernostalgia kerana nanti kelompok pendengarnya menjadi terhad.

Jadi, kami mahu generasi lama dan Gen Z sama-sama dapat menerima lagu ini.

Walaupun kami sudah berada pada tahap ‘Pak cik’, tetapi dalam video muzik kami cuba menampilkan suasana yang lebih muda menerusi pemilihan pakaian berwarna-warni.

Sebab itu juga kami menggunakan khidmat pengarah muda untuk menghasilkan video muzik berkenaan.

Dalam masa sama, Jim menyatakan bahawa kemunculan semula X Factor bukan sekadar untuk menghasilkan lagu baharu, sebaliknya mereka turut mahu membawa imej positif serta menjadi inspirasi kepada golongan muda.

Kemunculan semula kami bukan hanya mengenai lagu.

Kami juga mahu membawa imej positif dan menjadi ikon kepada golongan muda supaya mereka boleh mencontohi perkara baik yang kami sampaikan.

Lagu-lagu yang akan kami hasilkan selepas ini juga lebih menjurus kepada mesej positif.

Kami tidak mahu terlalu fokus kepada tema negatif atau kisah putus cinta semata-mata.

Sebagai artis yang sudah lama berada dalam industri, kami berasakan perlu menjadi contoh yang baik.