
Bagi kebanyakan pengguna, amaran kecemasan di telefon pintar hanya muncul sebagai notifikasi dengan bunyi penggera selama beberapa saat.
Namun, di sebalik paparan ringkas amaran MySiren, wujud rangkaian teknologi dan penyelarasan berskala besar yang membabitkan pelbagai agensi kerajaan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Untuk rekod, MySiren ialah Sistem Amaran Awal Nasional (EWS) yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggunakan teknologi Sistem Siaran Sel (Cell Broadcast System – CBS).
MySiren dilancarkan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Bangunan Parlimen pada 23 November lalu.
Pelaksanaan MySiren membabitkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Cara paling mudah untuk memahami cara MySiren berfungsi ialah dengan membandingkannya dengan siaran radio.
Khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantar satu demi satu ke setiap nombor telefon.
MySiren pula memancarkan satu mesej daripada menara telekomunikasi kepada semua telefon serasi di kawasan sasaran pada masa yang sama.
Amaran MySiren boleh sampai kepada peranti pengguna dalam tempoh kurang seminit, berbanding SMS pukal yang boleh mengambil masa sejam atau lebih.
Di sebalik kepantasan itu, MySiren bergerak melalui beberapa lapisan.
Ia bermula dengan pihak berkuasa yang mengeluarkan amaran MySiren bagi kawasan terjejas.
Mesej itu kemudian disalurkan melalui rangkaian setiap penyedia telekomunikasi ke menara pemancar yang meliputi kawasan berkenaan.
Ini bermakna kawasan bencana perlu dipadankan dengan menara pemancar yang tepat dan setiap penyedia rangkaian perlu memancarkan mesej yang sama secara serentak.
Lapisan terakhir ialah telefon pengguna, yang perlu menyokong teknologi CBS serta berada dalam liputan rangkaian 4G atau 5G.
MySiren mempunyai enam kategori amaran, termasuk Amaran Kebangsaan dan Amaran Ekstrem yang tetap berbunyi walaupun telefon dalam mod senyap.
Sistem berskala nasional seperti MySiren perlu melalui ujian berlapis sebelum beroperasi sepenuhnya.
Pembangunan sistem amaran seperti ini melalui fasa pembangunan serta ujian yang pelbagai untuk memastikan ia tersedia untuk digunakan apabila dilancarkan kelak.
Ujian itu bertujuan menilai prestasi sistem dan mengenal pasti sebarang masalah teknikal apabila amaran dihantar ke telefon di seluruh negara pada masa yang sama.
Membangunkan MySiren bukan sekadar memasang satu sistem baharu.
Pihak MCMC, NADMA, agensi teknikal berkaitan dan setiap penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu bergerak serentak kerana setiap syarikat telekomunikasi mengendalikan rangkaian masing-masing tetapi perlu memancarkan mesej yang sama pada masa yang sama.
Kawasan bencana juga perlu dipadankan dengan menara pemancar yang tepat dan telefon berhampiran di luar kawasan terjejas masih mungkin menerima notifikasi kerana siaran mengikut liputan menara.
Cabaran turut wujud pada telefon pengguna yang terdiri daripada pelbagai jenama dan sistem operasi.
Penerimaan amaran juga bergantung pada tetapan telefon serta liputan rangkaian 4G atau 5G di kawasan berkenaan.