
Industri drama tempatan kembali menjadi perhatian selepas platform penstriman iQIYI bersetuju menurunkan sementara enam episod Madu Atau Racun, manakala baki enam episod ditangguhkan bagi membolehkan kesemua 12 episod melalui proses suntingan dan penilaian semula.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat khas bersama iQIYI dan syarikat produksi terbabit. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan sebelum itu turut menyuarakan rasa kesal terhadap elemen dalam drama tersebut yang dikatakan menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan.
Kontroversi itu secara tidak langsung menghidupkan kembali persoalan tentang apa sebenarnya yang membuatkan sesebuah drama terus diingati. Adakah kerana kontroversi? Pelakon popular? Atau kerana ceritanya benar-benar membuatkan penonton merasai kesedihan, kemarahan dan kehilangan bersama watak di layar?
Hakikatnya, sebelum era TikTok dan platform penstriman, sudah ada drama tempatan yang berjaya membuat jutaan penonton menunggu di hadapan televisyen pada waktu yang sama. Ada yang membuat penonton menangis, ada yang membuat mereka geram dan ada juga yang membuatkan pasangan dalam drama ‘disatukan’ peminat sehingga ke dunia sebenar.
Artikel Berkaitan: Satu Babak Drama Viral, Terus Kena ‘Cancel’? Adakah Penonton Makin Sensitif? Ini 7 Realiti Industri Hari Ini
Artikel Berkaitan: Drama Diulang Tayang, Pelakon Tetap Dibayar Sekali? Mengapa Isu Royalti Masih Belum Selesai
Enam Drama Cetus Fenomena, Meninggalkan Impak Kepada Penonton
1. Nur Kasih – Bila Adam, Aidil Dan Nur Amina Menjadi Sebahagian Hidup Penonton
Kalau mahu mencari satu contoh drama tempatan yang benar-benar mendefinisikan istilah fenomena, Nur Kasih antara judul yang sukar diketepikan.
Drama arahan Kabir Bhatia yang mula disiarkan TV3 pada 29 Mei 2009 membawa penonton mengikuti kehidupan dua beradik, Adam dan Aidil serta Nur Amina.
Kekuatan Nur Kasih bukan hanya terletak pada persoalan cinta. Ia menggabungkan konflik keluarga, pengorbanan, agama, kehilangan dan perjalanan manusia mencari kembali arah kehidupan.
Penonton melihat Adam berubah daripada seorang lelaki yang memberontak, mengikuti kesetiaan Nur Amina dan dalam masa sama menyaksikan pengorbanan Aidil. Sebab itulah hubungan penonton dengan watak-wataknya terasa begitu dekat.
Berdasarkan AGB Nielsen Media Research, episod akhir Nur Kasih yang disiarkan pada 27 November 2009 mencatat lebih 4.1 juta penonton, bersamaan 59 peratus daripada keseluruhan penonton televisyen pada waktu tersebut.
mStar turut melaporkan drama 26 episod itu mencetuskan fenomena dalam kalangan masyarakat Malaysia, selain melonjakkan populariti Remy Ishak dan Tiz Zaqyah. Lebih menarik, kejayaan drama itu kemudiannya membawa kepada pembikinan filem Nur Kasih The Movie.
Sumber: mStar, 1 Disember 2009 – data AGB Nielsen Media Research.
2. Tentang Dhia – Drama Penuh Derita Yang Buat Penonton Terus Bersimpati
Selepas Nur Kasih, antara drama lain yang cukup kuat bermain dengan emosi penonton ialah Tentang Dhia. Drama yang mula ditayangkan pada November 2011 itu diterajui Nora Danish bersama Adi Putra, Ako Mustapha, Izreen Azminda, Tasha Shilla dan Puteri Sarah.
Sejak awal lagi, naskhah arahan dan tulisan Azlina Pa’wan ini dipasarkan sebagai sebuah kisah cinta yang menggamit emosi dan penuh dramatik.
Dhia berdepan pelbagai ujian dalam kehidupan dan percintaannya, termasuk konflik dengan orang di sekeliling serta hubungan rumah tangga yang tidak pernah benar-benar tenang. Semakin hampir ke penghujung cerita, semakin berat pula ujian yang perlu dilaluinya.
Menurut laporan Berita Harian yang kini boleh dirujuk melalui arkib KLiK, episod akhir Tentang Dhia mencatat hampir tiga juta penonton berdasarkan Nielsen Media Research. Laporan tersebut turut menyifatkan drama itu sebagai karya yang berjaya mencetuskan fenomena baharu dalam slot Akasia.
Ia menjelaskan kenapa, selepas lebih sedekad, nama Tentang Dhia masih sering muncul apabila bercakap mengenai melodrama tempatan yang paling menyayat hati.
Sumber: Berita Harian/KLiK, 5 Januari 2012 — Nielsen Media Research.
3. 7 Hari Mencintaiku – Watak Buntat Yang Mengubah Segalanya
Ketika 7 Hari Mencintaiku mula ditayangkan, tumpuan utama tentunya diberikan kepada hubungan Mia Adriana lakonan Siti Saleha dan Khuzairi lakonan Shukri Yahaya.
Tetapi dalam perjalanan cerita, muncul satu watak yang akhirnya menjadi antara watak paling diingati dalam drama tersebut iaitu Buntat.
Watak yang dibawakan Muhammad Ariff Abdullah itu bukan teraju utama, tetapi sifatnya yang polos berjaya membuatkan penonton jatuh sayang.
Penerbit Datuk Ziela Jalil sendiri mengakui kematian Buntat pada episod 20 memberikan impak besar kepada drama tersebut. Menurutnya, populariti 7 Hari Mencintaiku meningkat secara mendadak selepas episod itu sehingga karya berkenaan menjadi fenomena.
Ziela turut berkata lakonan Muhammad Ariff cukup ikhlas dan sampai ke hati sehingga membuat penonton benar-benar bersedih. Drama 28 episod itu kemudiannya turut meraih enam kemenangan di Drama Festival Kuala Lumpur 2017, termasuk Drama Pilihan.
mStar juga melaporkan karya berkenaan mencecah 12 juta tontonan. Fenomena tersebut akhirnya menjadikan 7 Hari Mencintaiku sebuah francais apabila diteruskan menerusi musim kedua dan ketiga.
Sumber: mStar, 10 April 2017 — kenyataan penerbit Datuk Ziela Jalil.
4. Teduhan Kasih – Sampai 2,000 Peminat Berkumpul Mahu Tengok Episod Akhir
Sebuah lagi karya yang pernah mendominasi slot Akasia ialah Teduhan Kasih. Drama 28 episod yang diadaptasi daripada novel itu menampilkan Adi Putra sebagai Ehsan, Sherry Ibrahim sebagai Iffa dan Nabila Huda menerusi watak Ayu.
Konflik rumah tangga Ehsan dan Iffa yang sering diganggu Ayu membuatkan penonton bukan sekadar mengikuti cerita, tetapi mula memilih ‘pihak’. Ada yang simpati kepada Iffa. Ada yang geram dengan Ayu.
Dan ada yang begitu terikat dengan watak Ehsan sehingga Adi Putra sendiri mengakui ketika itu namanya semakin dikenali sebagai Ehsan berbanding nama sebenarnya.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9 ketika itu, Sherina Nordin, Teduhan Kasih mencatat purata 2.7 juta penonton dan pernah mencapai sehingga 3.2 juta penonton.
Sambutannya begitu besar sehingga TV3 mengadakan tayangan eksklusif episod akhir bersama pelakon. Dianggarkan kira-kira 2,000 peminat hadir untuk menyaksikan episod kemuncak tersebut.
Bayangkan, pada zaman sebelum budaya watch party di media sosial menjadi perkara biasa, ribuan orang sanggup berkumpul hanya untuk mengetahui bagaimana kisah watak kegemaran mereka berakhir.
Sumber: mStar, 3 Julai 2013 — kenyataan Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9.
5. Ariana Rose – ‘Chemistry’ Sampai Peminat Mahu Mereka Bercinta Betul-Betul
Tidak semua impak emosi sebuah drama perlu datang daripada kematian atau penderitaan. Ada kalanya, penonton terlalu menyukai pasangan di dalam drama sehingga mahu percintaan tersebut diteruskan di dunia nyata.
Fenomena itu berlaku menerusi Ariana Rose. Drama yang menggandingkan Nur Fathia Latiff sebagai Ariana Rose dan Keith Foo sebagai Tengku Adam Kamil menjadi antara drama romantik paling popular di slot Akasia ketika ditayangkan.
Keserasian kedua-dua pelakon itu begitu mendapat perhatian sehingga Fathia mendedahkan ada peminat yang mendesak dirinya bercinta dengan Keith di luar set.
Ironinya, Fathia menjelaskan mereka sebenarnya kekok ketika menjayakan beberapa babak mesra kerana Keith seorang yang pemalu. Namun apa yang kelihatan di kaca televisyen cukup meyakinkan penonton.
Ariana Rose melabuhkan tirainya pada 13 Februari 2014 dengan jumlah penonton yang dilaporkan mencecah 4.5 juta orang. Fathia sendiri mengakui populariti drama tersebut turut memberi kesan kepada popularitinya ketika itu.
Jika penonton mahu pasangan fiksyen bercinta secara sebenar, itu sudah cukup menggambarkan betapa mereka percaya kepada hubungan yang dibina dalam cerita.
Sumber: mStar, 25 Februari 2014.
6. Andainya Takdir – Bukan Sebak Sahaja, Penonton Dibuat Geram
Berbeza dengan Nur Kasih atau Tentang Dhia, impak emosi Andainya Takdir lebih banyak datang daripada kemarahan. Drama 2017 lakonan Shukri Yahaya dan Nina Iskandar mengangkat hubungan Airil dan Fatihah yang penuh dengan sifat panas baran, cemburu dan penderaan rumah tangga.
Penonton geram dengan Airil. Pada masa sama, ada yang mempersoalkan mengapa Fatihah masih mahu bertahan dalam hubungan sedemikian.
Perdebatan itu menjadi semakin hangat apabila penerbit Datuk A. Aida mendedahkan jalan ceritanya bukan semata-mata imaginasi, sebaliknya diadaptasi daripada pengalaman seorang rakan baik yang hidup bersama suami yang melakukan keganasan terhadapnya.
A. Aida sendiri menyifatkan antara elemen penting sesebuah karya ialah konflik yang mampu membangkitkan emosi penonton. mStar melaporkan Andainya Takdir mencipta rekod ketika itu apabila menjadi drama pertama yang meraih 10 juta penonton dalam slot drama pukul 10 malam, selain mengungguli carta drama di media sosial dan digital.
Sumber: mStar, 22 Jun dan 26 Julai 2017.
Bila Drama Tidak Sekadar Ditonton, Tetapi ‘Dirasai’
Hari ini, kejayaan sesebuah drama boleh diukur melalui kedudukan dalam carta penstriman, jumlah views, perkongsian TikTok atau seberapa pantas sesuatu babak menjadi tular.
Tetapi ketika Nur Kasih, Tentang Dhia dan drama-drama awal slot Akasia ditayangkan, pengalaman menonton jauh berbeza. Penonton perlu menunggu hari dan waktu yang ditetapkan untuk mengetahui episod seterusnya.
Namun mungkin kerana itulah emosi yang lahir terasa lebih kolektif. Tidak semua drama yang mendapat rating tinggi akan kekal diingati. Begitu juga tidak semua karya yang menjadi kontroversi akan menjadi klasik.
Apa yang membezakan karya yang benar-benar meninggalkan kesan ialah apabila bertahun-tahun kemudian, penonton bukan sahaja masih mengingati jalan ceritanya, tetapi masih mengingati apa yang mereka rasa ketika menontonnya.








