Menjadi ibu bapa adalah perjalanan penuh kasih sayang dan pembelajaran. Namun, di sebaliknya sering hadir mom guilt iaitu rasa bersalah sebagai ibu apabila merasa tidak cukup baik atau tidak mencapai standard keibubapaan yang diharapkan.

Artikel Berkaitan: Edika Yusof Kongsi Luahan Hati, Pesan Anak Muda Hargai Pengorbanan Ibu Bapa

Artikel Berkaitan: Ning Baizura Kawal Emosi Menyanyi Lagu ‘Dugaanku’, Terkenang Pengorbanan Ibu Urus Kerjaya Seni & Jatuh Bangun Dalam Industri

Kenapa ibu selalu rasa bersalah?

Menurut perkongsian Fimela, memahami bentuk-bentuk mom guilt ini sangat penting supaya ibu dapat menjalani peranan mereka dengan lebih tenang dan tidak terlalu membebankan diri sendiri. 

Hakikatnya, tiada manusia yang sempurna kerana setiap ibu hanya sedang berusaha sebaik mungkin mengikut keadaan masing-masing.

Salah satu punca utama rasa bersalah ini muncul adalah apabila ibu mula membandingkan diri dengan orang lain. 

Melihat ibu bapa lain yang kelihatan lebih sabar, kreatif atau sentiasa meluangkan masa bersama anak di media sosial boleh membuatkan seseorang ibu rasa dirinya tidak cukup baik. 

Namun, setiap keluarga mempunyai situasi, tenaga dan cara tersendiri dalam membesarkan anak, jadi perbandingan sebenarnya tidak adil untuk diri sendiri.

Selain itu, mom guilt juga sering timbul apabila berlaku perbezaan pandangan tentang cara mendidik anak. Ada kalanya ibu menerima komen atau kritikan daripada ahli keluarga atau orang sekeliling yang mempertikaikan cara mereka membesarkan anak. 

Walaupun niat mereka mungkin sekadar memberi pandangan, ia boleh membuatkan ibu rasa ragu-ragu dan serba salah. 

Keseimbangan antara kerja, keluarga

Dalam masa yang sama, keseimbangan antara kerja dan keluarga juga menjadi antara faktor utama perasaan bersalah ini. 

Ibu yang bekerja sering rasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan masa sepenuhnya dengan anak, manakala ibu yang tidak bekerja pula kadang-kadang berasa tidak cukup menyumbang kepada keluarga. 

Hakikatnya, setiap peranan mempunyai nilai tersendiri dan yang paling penting adalah kehadiran emosi yang stabil serta hubungan yang baik dengan anak, bukan sekadar jumlah masa yang diluangkan.

Perasaan ini juga boleh muncul dalam keputusan harian yang nampak kecil tetapi memberi kesan emosi kepada ibu seperti memberikan skrin kepada anak, menggunakan susu formula, mendapatkan bantuan pengasuh atau memilih makanan yang mudah disediakan. 

Semua ini sering membuatkan ibu rasa serba salah, sedangkan kebanyakan keputusan tersebut dibuat berdasarkan keadaan dan keperluan keluarga, bukan kerana kurangnya kasih sayang.

Tidak kurang juga, ada ibu yang merasa bersalah apabila meluangkan masa untuk diri sendiri. Sama ada untuk bersenam, berehat, menikmati hobi, atau keluar bersama rakan tanpa anak, perasaan ini sering membuatkan mereka rasa seperti mengabaikan tanggungjawab. 

Sedangkan hakikatnya, penjagaan diri amat penting supaya ibu kekal sihat dari segi fizikal dan emosi, seterusnya mampu memberikan yang terbaik kepada anak-anak.

Kesimpulannya, setiap ibu menjalani perjalanan yang berbeza, dan apa yang paling penting adalah menjalani peranan itu mengikut kemampuan serta keadaan keluarga sendiri, bukan berdasarkan tekanan atau jangkaan orang lain.

Sumber: Fimela