
Jaguh beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei meraih pujian ramai apabila memilih menggunakan Bahasa Melayu ketika ditemu bual selepas menjuarai Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, pada Ahad.
Artikel Berkaitan: ‘Kejayaan Sebenar Bukan Di Podium, Tapi Lihat Keluarga Bahagia & Sukan Badminton Berkembang’ – Lee Chong Wei
Anak jati Malaysia!

Dalam sesi temu bual itu, gandingan negara berkenaan diajukan soalan dalam bahasa Inggeris oleh wartawan bertugas yang ingin mengetahui perasaan mereka sejurus bergelar juara.
Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei kemudian menjawab sepenuhnya menggunakan bahasa kebangsaan, sekali gus meluahkan rasa bangga dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pertama sekali, terima kasih kepada semua penyokong. Saya rasa sokongan yang diberikan sangat luar biasa, sama ada dari Malaysia mahupun Indonesia.
Semoga ada rezeki untuk kami kembali beraksi di kejohanan ini pada tahun akan datang.
Menjengah ke ruang komen, rata-rata wargamaya meluahkan rasa kagum dan bangga dengan pasangan beregu itu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu meskipun berbangsa Cina, membuktikan semangat jati diri sebagai anak Malaysia.
Malah, ada juga yang menyifatkan tindakan mereka sebagai satu bentuk penghormatan terhadap identiti negara dan berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Terdahulu, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai beregu campuran pertama negara menjuarai Kejohanan Badminton Indonesia Masters.
Pada aksi final yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta, pasangan ranking dunia itu mencatat kemenangan 15-21, 21-17, 21-11 ke atas beregu Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam tempoh 56 minit.








