berita

Buku Dandanan Rambut Selebriti, “When Dreams Come Alive” Ilham Albert Nico

July 25th, 2012 | by Ai
Kini Trendy

Albert Nico, 47 merupakan nama yang tidak asing lagi di kalangan selebriti tempatan. Beliau merupakan seorang pakar dandanan rambut terkenal dan hasil seni beliau telah mendapat pujian daripada beberapa selebriti terkenal seperti Elaine Daly, Datuk Bernard Chandran,Tengku Azura dan Tinie.

Albert Nico bukan sahaja terkenal dengan bakat dandanan rambut, malah beliau merupakan salah seorang duta tempatan bagi jenama penjagaan rambut terkenal dari Perancis, iaitu Loreal Professionnel. Selain itu, beliau turut dikatakan kerap terbang ke negara tersebut bagi menimba ilmu pengetahuan.

Sepanjang 15 tahun melibatkan diri dalam dunia dandanan rambut, baru-baru ini Albert Nico telah menghasilkan bukunya sendiri yang bertajuk “When Dreams Come Alive”. Menerusi buku ini, Albert telah berkongsi segala pengalaman beliau sepanjang bergelar pendandan rambut professional.

Dengan lahirnya buku ini, Albert Nico berharap agar bukunya dijadikan sebagai sumber inspirasi kepada generasi muda masa kini yang berminat menceburi bidang dandanan rambut. Bidang ini sememangnya perlukan minat, kesabaran, aksi serta kesungguhan yang mendalam.

Menurut Albert Nico lagi, buku ini merupakan keluaran ekslusif daripadanya dan ia tidak dipasarkan secara meluas, sebaliknya hanya boleh didapati dari salunnya sendiri yang terletak di pusat membeli belah Fahrenheit 88, Bukit Bintang. Sebagai permulaan, beliau telah mencetak sebanyak 800 salinan dan boleh dibeli pada harga RM100 atau lebih. Hasil daripada jualan buku ini akan disalurkan ke rumah anak-anak yatim dan orang tua.

Sumber : Murai