Seorang bekas penternak babi dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan minimum 18 tahun penjara kerana membunuh dan membuang mayat isterinya dalam lubang kumbahan 40 tahun lalu di Kempsey, United Kingdom.
Dikatakan jalin hubungan sulit
Menerusi laporan Daily Mail, David Venables, 89, boleh memohon parol pada usianya 107 tahun nanti selepas dia didapati bersalah membunuh Brenda Venables pada 1982. Ketika hukuman dijatuhkan, warga emas itu tidak memberikan sebarang reaksi. Namun hadirin yang ada di ruang mahkamah mendengar lelaki itu berkata ‘tidak’ ketika dibawa ke lokap selepas hukuman dijatuhkan.
Pesara itu dikatakan ada menjalin hubungan sulit ketika dia membunuh isterinya di rumah ladang mereka ketika mangsa sedang berehat untuk memulihkan kecederaan kaki selain mengalami masalah kemurungan. Menurut Hakim Mahkamah Tinggi, Tipples dalam penghakimannya memberitahu, beliau yakin Venables membunuh isterinya untuk berpisah tanpa menerusi prosiding penceraian. Beliau turut berkata, tertuduh juga mungkin bimbang dengan kesan yang akan diterima sekiranya bercerai.
Kejadian ini berlaku disebabkan sikap tamak dan mementingkan diri sendiri.
Pada 12 Julai 2019, pihak berkuasa telah berjaya menjumpai tengkorak dan beberapa tulang Brenda Venables di saluran bawah tanah ketika kerja pembersihan saluran dilakukan. Penemuan itu berlaku selepas enam tahun Venables menjual hartanahnya dengan harga RM2.4 juta. David dipercayai cuba untuk meletakkan kematian isterinya itu kepada Fred West yang mempunyai kaitan dengan pembunuhan bersiri di sebuah kampung di Worcestershire pada bulan Mei 1982.
Pasukan peguamnya juga menegaskan wanita itu mungkin sama ada membunuh dirinya sendiri atau bertemu seseorang yang berhasrat mencederakan mangsa. Keluarga Brenda turut meluahkan rasa kecewa dengan tindakan kejam tersebut. Mereka sekeluarga tidak akan memaafkan tertuduh yang sepatutnya menjadi orang yang mengasihi dan melindungi wanita itu.
Sumber: Daily Mail