Doktor merupakan satu profesion yang sangat mulia dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Mereka inilah insan yang sanggup mengorbankan masa untuk merawat para pesakit. Tetapi siapa sangka, di sebalik figura seorang doktor terselindung seribu satu muslihat.
Ini kisah seorang doktor yang dikenali dengan nama Dr Harold Frederick Shipman iaitu pembunuh bersiri di Britain yang tergamak membunuh pesakitnya.
Siapakah Harold Shipman?
Harold Frederick Shipman dilahirkan pada tahun 1946 di Nottingham, England. Ibunya yang dikenali dengan nama Vera merupakan seorang wanita dominan dan personalitinya yang sangat tegas dalam menentukan hal kehidupan anak-anak. Walaupun berperwatakan dominan, Shipman sering mengidolakan ibunya. Hal ini kerana, ibunya merupakan insan yang sentiasa memberi kata-kata semangat buatnya.
Menurut sumber, Shipman seorang yang cerdas pada usia mudanya tetapi dalam masa yang sama, dia mengalami masalah kesukaran bersosial termasuklah untuk mencari rakan. Dia juga sering memperoleh markah yang tinggi dan sangat aktif dalam bidang sukan sehingga menjadi atlet di sekolahnya. Walaupun begitu, kelompok sosial Shipman masih kecil dan antara rakan yang dia ada adalah ibu dan adik perempuannya sahaja.
Ketika Shipman masih di alam persekolahan, ibunya pula telah didiagnosis kanser paru-paru. Shipman dikatakan mula tertarik dengan bidang perubatan selepas melihat keberkesanan morfin dalam mengawal simptom yang dialami oleh ibunya. Oleh sebab itu, Shipman bernekad untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan tetapi sayangnya sebelum sempat berbuat demikian, ibunya telah meninggal dunia pada 21 Jun 1962. Lebih menyedihkan apabila ibnunya ‘pergi’ ketika Shipman sedang menduduki peperiksaan A Level. Maka, tinggallah dia bersendirian tanpa kasih sayang seorang ibu.
Melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan
Namun, Shipman masih meneruskan impiannya dan telah memasuki Universiti Leeds ketika usianya 19 tahun. Pada ketika itu lah dia bertemu dengan seorang wanita, Primrose May Oxtoby dan mendirikan rumah tangga. Hasil daripada hubungan itu, pasangan ini dikurniakan 4 orang cahaya mata. Namun, selepas menggenggam ijazah, Shipman telah memulakan kerjayanya sebagai doktor pada tahun 1974. Tetapi lesen kedoktorannya terpaksa ditarik selepas pihak atasan mendapati Shipman terlibat dalam penyalahgunaan opiod yang dikenali sebagai pethedine.
Oleh hal yang demikian, Shipman telah dipecat dan dihantar ke pusat pemulihan dadah. Dua tahun kemudian, Shipman telah kembali ke bidang perubatan dengan menjadi staf di Pusat Perubatan Donneybrook di Hyde. Perkhidmatannya pada kali ini agak lama sehingga tahun 1998 iaitu selama 20 tahun. Pada tahun yang sama, seorang individu yang bertugas mengangkat mayat pesakit iaitu Alan Massey mengesyaki sesuatu selepas mendapati kadar kematian pesakit yang berada di bawah jagaan Shipman agak membimbangkan. Lebih-lebih lagi apabila melihat kematian mereka kesemuanya hampir sama bahkan berada dalam kedudukan yang sama ada posisi duduk atau sedikit berbaring.
Memalsukan dokumen
Bukan itu sahaja, Massey juga tidak faham mengapa Shipman membekalkan pesakit dengan kadar morfin yang agak tinggi sedangkan mereka tidak mengalami sakit yang teruk. Untuk menutup kemusykilan tersebut, Shipman telah menunjukkan kepada Massey buku sijil setiap pesakit yang memaklumkan bahawa mereka memerlukan morfin. Walau bagaimanapun, rekod tersebut adalah tidak sahih. Selain Massey, salah seorang doktor iaitu Dr. Susah Booth juga curiga dengan angka kematian pesakit Shipman. Dia bertindak memaklumkan kepada koroner tempatan yang kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis.
Tetapi tipu muslihat Shipman akhirnya terbongkar sedikit-demi sedikit selepas kematian seorang pesakitnya iaitu Kathleen Grundy pada 24 Jun 1998. Lebih menimbulkan syak wasangka apabila Katheleen Grundy yang juga merupakan Datuk Bandar Hyde telah mati secara mengejut beberapa jam setelah kedatangan Dr Harold. Apabila ditanya, Shipman hanya menjawab dia ke sana atas tujuan mengambil sampel darah untuk penyelidikan perubatan. Selain itu, Shipman juga sempat memberitahu anak perempuan Grundy iaitu Angela Woodruff bahawa tidak perlu melakukan bedah siasat ke atas mayat mangsa. Oleh itu, Grundy telah dikebumikan tanpa dibedah siasat.
Angela Woodruff yang juga merupakan seorang peguam agak musykil dengan wasiat yang ditinggalkan ibunya itu. Dalam wasiat tersebut tertulis mendiang ingin menyerahkan sebahagian besar hartanya kepada Dr. Shipman. Woodruff tertanya-tanya mengapakah ibunya sanggup memberikan wang yang banyak kepada seorang doktor sedangkan mereka tidaklah begitu rapat. Selepas meneliti semula wasiat berkenaan, dia mendapati terdapat banyak kesalahan selain melihat tandatangan tidak sepadan dengan yang asli. Dia kemudian pergi ke balai polis untuk melaporkan dan mereka mengesahkan bahawa dokumen tersebut telah dipalsukan oleh Shipman. Susulan daripada itu, mereka akhirnya bersetuju untuk menggali semula kubur Grundy.
Mangsa overdos morfin
Selepas itu mereka melakukan bedah siasat ke atas mayat mangsa dan hasilnya membuktikan punca kematian Grundy adalah disebabkan overdos morfin yang telah diberikan 3 jam sebelum kematiannya iaitu ketika Shipman mengunjungi rumah Grundy. Namun, tidak lama selepas itu, polis bertindak menyerbu dan menggeledah rumah Shipman. Apa yang mengejutkan apabila mereka menemui banyak barang kemas wanita, rekod perubatan yang dibuang dan mesin taip yang sepadan dengan jenis huruf di wasiat Grundy.
Shipman telah memalsukan semua rekod perubatan pesakitnya untuk membenarkan dos morfin yang disuntiknya ke dalamnya. Bukan itu sahaja, Shipman telah mengubah banyak rekod kesihatan dengan menambahkan simptom yang tidak pernah dialami mereka. Selain itu, dia turut menasihati keluarga-keluarga mangsa untuk membakar mayat mereka tanpa perlu melakukan penyiasatan lanjut mengenai kematian tersebut. Namun, sekiranya ahli keluarga inginkan maklumat yang lebih terperinci mengenai kematian. Shipman akan membuat dokumen palsu dengan memaklumkan bahawa keadaan kesihatan mangsa memerlukan jumlah suntikan morfin yang tinggi. Berdasarkan semua bukti yang terdapat dalam hard drive miliknya, pihak berkuasa telah menjalankan siasatan terhadapnya.
Pada tahun 2000, Harold telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pembunuhan 15 orang wanita dan satu tuduhan pemalsuan dokumen. Pada tahun 2002, siasatan menyimpulkan bahawa dia telah membunuh sekurang-kurangnya 215 pesakit tetapi angka sebenarnya boleh mencapai 459 pesakit. Sebilangan besar anggaran mendakwa bahawa dia membunuh sekitar 260 pesakitnya. Berikutan daripada pertuduhan itu, Shipman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Namun pada tahun 2004, Shipman telah membunuh diri ketika dia berada di dalam penjara.
Sumber: The Sun, Film Daily, New York Times, Serialkillershop