Inisiatif Bantuan Keluarga Malaysia atau nama singkatannya BKM yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2022 yang lalu terbukti telah membantu ramai rakyat Malaysia, apatah lagi apabila bantuan tersebut diberikan ketika waktu getir.
Amaun yang diberikan adalah sehingga RM900, mengikut kelayakan masing-masing dan diberikan secara berperingkat. Inisiatif ini dikatakan telahpun membantu lebih 8.7 juta rakyat Malaysia.
Peringkat terakhir dijangka akan mula diberikan Jumaat 18 November ini.
Melalui pembentangan bajet 2023, inisiatif ini akan diteruskan pada tahun hadapan dan akan ditambah baik, bagi memastikan pemberian BKM dapat diberikan dengan lebih ekstensif.
Jom kita lihat apa penambahbaikan yang netizen harapkan bagi pemberian BKM 2023 ini!
Permohonan BKM diwar-war dengan lebih meluas- Shaifullah
Inisiatif tersebut merupakan inisiatif yang bagus namun kami berharap agar cara permohonan atau tarikh mula permohonan diwar-war dengan lebih lagi supaya tidak ada yang ketinggalan. Lebihkan hebahan di media sosial kerana ramai yang bergantung kepada laman media untuk dapatkan info terkini.
Bantu warga emas untuk memohon kerana mereka tidak pandai menggunakan sistem online- Nabiha
Disebabkan kami berada jauh dari keluarga, kami berharap jika wakil-wakil rakyat atau ketua kampung untuk mengupah lebih ramai anak muda untuk bantu warga emas yang berada di kampung untuk memohon bantuan ini.
Lebih tumpukan kepada ibu atau bapa tunggal – Niza
Walaupun BKM 2022 banyak membantu mereka namun adalah lebih baik jika tahun hadapan mereka dapat menerima lebih daripada tahun ini. Lagi-lagi untuk mereka yang mempunyai tanggungan anak.
Jangan risau, semua aspek diambil kira! BKM 2023 dijangka naik sehingga RM2,500!
Seperti yang dikatakan, BKM 2023 dijangka akan lebih komprehensif dan meluas. Segala aspek diambil kira dan luahan rakyat didengari.
Oleh itu, melalui pembentangan belanjawan 2023 tersebut, warga emas yang tiada pasangan dan golongan bujang akan menerima BKM sebanyak RM600 dan RM350 bergantung kepada pendapatan mereka.
Bagi golongan ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan anak pula, mereka menerima kenaikan sebanyak RM500 menjadikan jumlah BKM yang bakal mereka terima ialah RM3,000 berbanding RM2,500 pada tahun ini.
Bayaran tunai secara ‘one-off’ pula akan diberikan kepada ibu daripada isi rumah penerima BKM yang melahirkan anak pada tahun hadapan.
Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu kelangsungan hidup rakyat Malaysia apatah lagi dengan ekonomi kini yang tidak menentu. Terdapat juga segelintir yang menggunakan Inisiatif Keluarga Malaysia ini sebagai modal untuk mereka mula berniaga.
Diharap agar inisiatif ini dapat diteruskan bagi tahun-tahun yang akan datang supaya mereka yang memerlukan dapat dibantu.