berita

Casing Lampu Tiba-Tiba Jatuh Hempap Anak, Kaca Bersepai Pacak Dahi

October 13th, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Malang tidak berbau, dalam usaha mencegah sebarang kemalangan kita tidak terlepas daripada berdepan risiko yang tidak dapat diramal. Seperti perkongsian wanita ini, lampu di siling rumah tiba-tiba jatuh menghempap anak yang ketika itu sedang baring di ruang tamu.

Menurutnya, sebelum ini lampu tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda sudah rosak sehingga jatuh ke bawah.

Kaca bersepai sekeliling

Sempena masuk bulan Oktober, saya nak mengimbau mimpi ngeri 17 Oktober 2017. Waktu tu, Hana berusia 11 bulan. Kami memang tidur bentang tilam di ruang tamu (rumah sewa) atas faktor takut anak jatuh katil. Petang, selepas mandikan Hana, saya baringkan dia. Toleh ke belakang sekejap sebab nak capai baju tidur dia. Masa toleh tu tiba-tiba ada bunyi benda hentam kuat sangat. Saya tolehlah ke dapur, fikir agaknya ada lori hentam apa-apa kot. Bila toleh ke depan rupanya casing lampu hempap Hana. Kaca bersepai sekeliling. Casing lampu tu bengkok. Sebelum ni lampu elok je melekat di siling, takde tanda-tanda nak jatuh.

Hana terdiam. Saya terus angkat, terkejut tengok dahi dia ada kaca besar terpacak, serpihan halus merata kat atas kepala anak, muka, dalam telinga. Darah keluar macam air. Saya dah panik menjerit panggil suami. Terus balut Hana pakai tuala je, letak lampin atas kepala. Perjalanan ke hospital, sempatlah saya keluarkan serpihan kaca halus dari telinga, mata, muka. Sampai hospital, doktor cuci kepala, balut dahi.

Kaca terbenam dalam dahi

Kena mula puasa pukul 10 malam sebab esok pagi Hana akan masuk Operation Theatre. Kesian Hana sepanjang malam menangis haus susu. Esoknya dalam OT saya teman Hana masa doktor bagi gas. Bila doktor minta keluar, sayu hati tengok anak terkulai pengsan. Bila dah siap, leganya hati. Doktor tunjuk serpihan kaca yang terbenam dalam dahi. Besar juga. Ada 3 kaca. Alhamdulillah sepanjang recovery tu Hana kuat. Bulan depan masuk umurnya 4 tahun. Doakan Hana sentiasa sihat ye uncles aunties.

Pengajaran yang saya dapat, usahalah sebaik mungkin untuk mencegah apa-apa kemalangan daripada terjadi. Tapi sekiranya Allah takdirkan, terima dengan sabar, redha, dan pasti ada hikmahnya. Kejadian ini buat saya lebih berhati-hati dan lebih hargai anak-anak kerana entah bila Allah boleh ambil mereka. Mereka hanyalah pinjaman. Terima kasih kerana sudi membaca.

Sumber: Nadiah Hashim via Anak Sepahkan Apa Hari Ini?

SKIP THIS AD ×