
Memilih untuk tidak tergesa-gesa dalam soal perkahwinan, pelakon, Sherry Ibrahim berkongsi pandangan dan prinsip hidupnya mengenai pasangan hidup yang diimpikan.
Artikel Berkaitan: ‘Jangan Kongsi Kisah Sedih Atau Kelemahan Kita Pada Lelaki Yang Tak Berapa Kenal’ – Sherry Ibrahim
Lelaki yang jujur

Sebagai seorang wanita, Sherry, 42, menegaskan bahawa kejujuran merupakan ciri paling utama yang dicari dalam diri seorang lelaki.
Saya mahukan seorang lelaki yang jujur. Kejujuran yang ditunjukkan melalui perbuatan, bukan sekadar kata-kata. Jangan hanya pandai bercakap, kerana saya sudah tidak mempunyai masa untuk menunggu.
Sherry berkata demikian ketika ditemui di sidang media Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Sherry mengakui dirinya kini berada dalam fasa kehidupan yang lebih matang dan bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga. Namun, menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.
Sejujurnya, saya sudah bersedia untuk berumah tangga. Saya tidak mempunyai banyak masa, apatah lagi apabila bercakap soal zuriat, memandangkan usia saya sekarang.
Namun begitu, saya percaya Allah Maha Mengetahui dan Dia tahu apa yang terbaik untuk saya. Jadi saya bersabar dan menunggu, kerana perkahwinan bukan satu pertandingan dan bukan juga satu trend. Bukan kerana orang lain berkahwin, kita juga perlu tergesa-gesa.
Bercerita lanjut, Sherry tidak menafikan wujud beberapa tanggapan terhadap dirinya, termasuk persepsi sebagai wanita ‘pakej lengkap’ dan ‘high maintenance’ yang mungkin membuatkan sesetengah lelaki berasa gentar untuk mendekati.
Apabila bercakap tentang ‘pakej lengkap’, orang mungkin melihat dari segi rupa, cantik, tinggi, kurus dan sebagainya. Tetapi mungkin juga ada yang takut untuk mendekati.
Mungkin ada yang beranggapan saya ‘high maintenance’, tetapi sebenarnya tidak. Saya sudah bekerja sejak umur 18 tahun. Mungkin pada pandangan sesetengah orang begitu, tetapi saya rasa saya seorang yang sangat ringkas.
Saya bukan jenis yang mahukan ini dan itu tanpa usaha. Saya bekerja keras untuk apa yang saya mahukan. Saya pernah jatuh dan bangkit semula. Cuma, untuk mendapatkan seseorang yang benar-benar jujur itu, saya rasa memang sukar.
Mengakhiri temu bual, Sherry menekankan bahawa lelaki yang benar-benar serius perlu berani membuktikan niat mereka, bukan sekadar melafazkan janji.
Bagi saya, yang terbaik adalah mendapatkan lelaki yang baik, ikhlas dan jujur. Tiga perkara ini sangat penting. Walau apa pun, jika lelaki itu benar-benar mahukan saya, dia perlu jujur dan menepati apa yang dijanjikan.
Saya sudah terlalu biasa mendengar janji-janji yang sama, tetapi di mana tindakannya? Saya mahukan tindakan, bukan sekadar kata-kata.
Jika lelaki itu benar-benar berani, dia akan datang berjumpa ibu bapa saya. Jika sesuai, insya-Allah, perkara itu (perkahwinan) akan terjadi.








